fbpx

K2

ShariahScreener.com bantu pelabur pilih kaunter saham berpotensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MELALUI aplikasi ShariahScreener.com menurut Dr. Zaharuddin, pengguna boleh melihat potensi kaunter saham jangka pendek atau jangka panjang untuk pelaburan.

MUTAKHIR ini, saham menjadi salah satu instrumen pelaburan pilihan bagi sesetengah individu untuk menambah pendapatan.

Pelaburan saham kini juga menjadi semakin mudah seiring perkembangan teknologi yang boleh dilakukan dengan hanya menggunakan hujung jari.

Sebelum seseorang itu melakukan sesuatu pelaburan, analisis perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan saham yang dibeli berpotensi memberi keuntungan.

Namun untuk memilih saham yang berpotensi bukanlah mudah terutama bagi mereka yang baru terlibat dengan instrumen pelaburan tersebut.

Tetapi kini semua itu menjadi mudah dengan adanya platform ShariahScreener.com.
Platform itu menjadi pemudah cara untuk pelabur-pelabur mengenal pasti saham-saham berpotensi untuk dilabur.

Pengasasnya, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, ShariahScreener.com adalah satu platform berteraskan teknologi kewangan yang mempunyai beberapa kemudahan untuk mereka yang terlibat dalam pelaburan saham patuh syariah.

Menurutnya, kemudahan pertama adalah platform tersebut menganalisis saham-saham yang mempunyai potensi untuk dijual atau dibeli oleh para pelabur.

“Kita telah lakukan secara algoritma supaya data daripada harga turun naik pasaran saham Malaysia kita ambil dan terus ke platform kita. Data itu kemudian akan diproses secara automatik untuk analisis.

“Analisis dilakukan berdasarkan beberapa parameter atau garis panduan yang kita telah diprogramkan. Kita gunakan kombinasi daripada dua jenis program iaitu analisis teknikal dan fundamental,” jelasnya.

Tambahnya, analisis ini sering digunakan oleh pelabur dalam mengenal pasti saham-saham berpotensi.

Hasil daripada analisis platform tersebut akan keluarkan pilihan kaunter saham yang bagus untuk dibeli atau dijual.

Melalui platform tersebut juga, pengguna boleh melihat potensi kaunter saham untuk jangka masa pendek ataupun panjang untuk pelaburan.

 

APLIKASI ini sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia pelaburan saham.

 

Zaharuddin menjelaskan, melalui kemudahan sedemikian ia telah membantu pelabur menjimatkan masa mereka dalam mengenal pasti kaunter saham yang terbaik.

“Mereka hanya perlu memilih kaunter berpotensi yang telah dianalisis dan kemudian melakukan sedikit kajian berdasarkan cara mereka dalam melakukan keputusan akhir untuk memilih saham sesuai.

“Platform ini amat sesuai untuk mereka yang baru terlibat dalam pelaburan saham. Selain itu, mereka yang telah lama dalam pelaburan juga boleh menggunakan platform ini,” tegasnya.

Tambahnya, terdapat lebih 700 saham patuh syariah di Bursa Malaysia dan pengguna boleh menggunakan platform tersebut untuk mengenal pasti kaunter saham yang boleh disertai.
Dalam pada itu, kemudahan lain yang terdapat di platform tersebut adalah kemas kini berita.

“Naik turun sebahagian saham juga adalah bergantung dengan berita semasa yang berkaitan.

“Di platform ini. kita juga sediakan ruangan berita berkaitan yang dikemas kini setiap hari.

“Selain itu, jika ada pengumuman berkaitan sesuatu syarikat, kita juga akan kemas kini di ruangan ini untuk rujukan pelabur,” kata Dr. Zaharuddin yang juga merupakan pakar kewangan Islam.

Dr. Zaharuddin menambah, kemudahan lain yang ada di platform tersebut adalah untuk pelabur yang ingin melabur di dalam pasaran saham di Amerika Syarikat (AS.)
Melalui platform itu, pelabur boleh mengetahui status saham di pasaran tersebut sama ada patuh syariah atau tidak.

“Bagi mereka yang ingin melabur di pasaran saham AS, platform ini telah menyaring lebih 4,000 saham di situ.

“Jumlah saringan itu akan ditambah untuk masa hadapan,” katanya.
Selain itu, pelbagai kemudahan lain berkaitan pelaburan saham terdapat di platform tersebut dan boleh diakses dengan mudah melalui laman web di peranti pintar.

 

TUJUAN utama aplikasi ini dibangunkan Dr. Zaharuddin adalah untuk menggalakkan orang ramai terbabit dengan pelaburan saham patuh syariah.

 

Di platform tersebut juga mempunyai kemudahan jurnal perdagangan saham, kemudahan pembelian buku dan video berkaitan pelaburan saham, selain boleh juga mencari tenaga pengajar peribadi berkaitan pelaburan saham.

Harga langganan untuk kemudahan di ShariahScreener.com juga rendah berbanding platform lain yang mempunyai ciri hampir sama.

Pada harga serendah RM45 sebulan atau RM469 setahun, mereka boleh menggunakan platform itu bagi membantu membuat keputusan penting dalam pelaburan.

Selain itu, pengguna yang ingin mencuba platform tersebut diberi peluang untuk mengunakannya secara percuma untuk tiga hari.

Zaharuddin menjelaskan, ShariahScreener.com dibangunkan sejak Ogos lalu dan tujuan utama beliau menyediakan perkhidmatan tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai terlibat dalam pelaburan saham patuh syariah.

“Orang Melayu masih minoriti dalam pelaburan saham ini berbanding kaum lain, sedangkan ia adalah satu instrumen pelaburan yang cukup baik dalam menjana pendapatan.

“Mereka harus menggunakan peluang ini kerana dengan teknologi terkini, ia menjadi pemudah cara untuk kita melabur di pasaran saham,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI