fbpx
GAMBAR pada 8 Januari lalu menunjukkan pelanggan membeli ganja di sebuah kedai kopi di Amsterdam, Belanda. – AFP

Ambil vaksin Covid-19, dapat ganja percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Orang ramai yang mengambil suntikan vaksin Covid-19 akan diberikan sepeket ganja secara percuma di bandar Washington dalam masa terdekat, lapor akhbar Daily Star baru-baru ini.

Pengasas bersama Persatuan DC Marijuana Justice (DCMJ), Adam Eidinger ber­kata, langkah itu adalah ­inisiatif untuk mengubah persepsi negatif orang awam terhadap vaksin koronavirus.

DCMJ ialah satu organisasi yang memperjuangkan hak penggunaan ganja dan menuntut bahan itu dibenarkan untuk digunakan mengikut undang-undang di Washington.

“Jika percaya terhadap sains yang menyokong penggunaan ganja dalam perubatan, anda harus percaya kepada sains ­keberkesanan vaksin.

“Inisiatif yang dinamakan Ganja untuk Suntikan ini akan dijalankan selepas klinik-klinik vaksin di Washington dibuka,” katanya.

Organisasi itu juga merancang untuk mengedarkan ganja berbentuk rokok bagi meraikan majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat baharu, Joe Biden minggu depan.

Bagaimanapun, pelan itu terpaksa ditunda selepas mengambil kira keadaan pandemik dan risiko tercetusnya keganasan bersenjata di bangunan Capitol. – Agensi