fbpx
PISO 21 dan Maluma kini bergabung dalam Mas De La Una.

Rintihan reggaeton Piso 21, Maluma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGELINTIR berpendapat irama muzik reggaeton hanya diminati kelompok tertentu dan sukar untuk mencuri perhatian khalayak kerana dinyanyikan dalam bahasa Sepanyol.

Ironinya lagu Latin seperti Havana nyanyian Camila Cabello feat Young Thug dan Despacito (Luis Fonsi Daddy Yankee bersama Justin Bieber) sudah berjaya menakluk dunia.

Pengaruh irama Amerika Latin juga turut dapat dilihat menerusi beberapa karya tempatan seperti Donde dan Satu Peluang nyanyian Andi Bernadee, Lelaki Di Telefon (Afiq Syazwan) dan Make Me Wanna (Dolla).

Justeru, lagu berentak sebegitu bukan sahaja mendapat perhatian penduduk luar negara tetapi mampu dinikmati penggemar genre sebegitu meskipun masing-masing tidak boleh bertutur apatah lagi memahami lirik bahasa Latin secara keseluruhan.

Rentak sedemikian jugalah yang terisi menerusi buah tangan penyanyi dari Colombia, Piso 21 bersama Maluma berjudul Mas De La Una.

Dilancarkan lebih sebulan lalu, tajuk lagu yang membawa maksud selepas pukul satu itu sarat elemen reggaeton termasuk irama rentak trap beat yang dilihat sukar untuk dipisahkan daripada irama reggae.

VIDEO muzik lagu Mas De La Una nyanyian Piso 21 bersama Maluma telah mendapat lebih 20 juta tontonan setelah dimuat naik dalam YouTube sebulan lalu.

Gaya trap beat secara tidak langsung membenihkan aura groove sehinggakan membuat pendengar berasa seperti ingin bergoyang mengikut rentak.

Meskipun makna di sebalik lagu tersebut lebih cenderung ke arah luahan emosi melankolik tetapi cara penyampaiannya berbeza berbanding balada.

Di Malaysia, balada sering menjadi pilihan pengkarya untuk bermain kisah putus cinta dan patah hati serta disampaikan secara mendayu-dayu.

Lagu Mas De La Una lebih kedengaran kepada irama pop yang sememangnya signatur kumpulan Piso 21.

Makna tersirat di sebalik lagu Mas De La Una pula seakan-akan bergerak selari dengan irama lagu tersebut yang kedengaran santai dan bersahaja.

Lirik Mas De La Una bercerita tentang luahan perasaan seorang lelaki yang mengakui kekhilafan dan menyesal.

Bagaimanapun usahanya untuk memujuk kembali wanita yang dicintainya menemui jalan buntu kerana hubungan mereka telah berakhir apabila setiap panggilan telefon tidak dijawab sehingga jam menunjukkan pukul satu pagi.

Akhirnya sang lelaki sedar bahawa dia tidak mampu mengubah sikap buruknya dan menerima keputusan kekasihnya untuk berpisah.

Penyatuan Piso 21 dan Maluma turut kedengaran serasi apatah lagi sebelum ini, mereka pernah bekerjasama menerusi lagu Me Llamas versi remix pada 2016.

Diterbitkan oleh Warner Music Mexico, video muzik lagu tersebut sehingga kini telah mendapat lebih 20 juta tontonan dalam YouTube setelah dimuat naik pada Disember lalu.

Selain Mas De La Una, Piso 21 turut melancarkan dua single lain pada tahun 2020 iaitu berjudul Dulcecitos dan Tomar Distancia.

Piso 21 juga pernah bekerjasama dengan kumpulan Black Eyed Peas menerusi lagu bertajuk Mami pada tahun 2019.

Untuk rekod, Maluma bukan nama asing dalam industri nyanyian sementelah bintang berusia 26 tahun itu pernah bekerjasama dengan penyanyi senior seperti Madonna, Jennifer Lopez, Marc Anthony, Ricky Martin, Thalia termasuk Becky G dan The Weeknd.