fbpx
Sebahagian penumpang pengangkutan Prasarana yang telah membuat penebusan pakej My30 Plus30 - Beli 1, Percuma 1 semalam.

1,283 penumpang tebus pakej My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seramai 1,283 penumpang telah menebus pakej My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1 di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral dan Hab Bas Rapid KL Pasar Seni pada hari pertama penebusannya semalam.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu adalah sebagai sokongan kepada kempen penggalakan pelancongan domestik yang diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya kempen My30 Plus30 – Beli 1, Percuma 1 untuk pembelian pas perjalanan tanpa had My30 bermula daripada 21 Disember tahun lepas dan akan berlangsung sehingga 31 Mac.

“Justeru kepada pelanggan yang ingin membuat penebusan pada hari ini boleh melakukannya di kiosk Sayap Timur di stesen LRT KL Sentral sehingga pukul 10.30 malam dan di Hab Bas Pasar Seni sehingga 7 malam.

“Kaunter di Hab Bas Pasar Seni, bagaimanapun, tutup pada hari Ahad dan hari-hari cuti am manakala kaunter di KL Sentral dibuka setiap hari,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Prasarana, menerusi kempen ini satu baucar pas percuma My30 akan diberikan untuk setiap pembelian di mana pas percuma My30 ini boleh digunakan sendiri untuk pembaharuan pada bulan berikutnya.

Tambahnya, pas percuma My30 ini adalah terhad kepada 8,333 penebusan sahaja dan berdasarkan siapa dulu dia dapat serta terhad kepada seorang pengguna dan sekali penebusan sahaja.

“Tempoh penebusan untuk pas percuma bermula semalam dan akan tamat pada 31 Mac 2021 atau selepas pas percuma ke 8,333 dilunaskan.

“Untuk maklumat lanjut mengenai kempen My30 Plus30, Beli 1, Percuma 1 dan info-info lain mengenai My30, anda boleh melayari laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my,” jelasnya. – K! ONLINE