fbpx
KETIKA bilangan penganggur meningkat, jumlah golongan yang bekerja sendiri menurun dalam suasana ketidaktentuan ekonomi. – GAMBAR HIASAN

Kadar pengangguran meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding 4.7 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur bertambah sebanyak 16,200 orang kepada 764,400 pada November, pertumbuhan 2.2 peratus daripada Oktober 2020.

Jelasnya, penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meningkat 2.3 peratus kepada 637,700 orang (Oktober: 623,100) manakala penganggur tidak aktif meningkat 1.3 peratus kepada 126,700.

“November 2020 menyaksikan penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat.

“Antara lain, keadaan ini berkemungkinan disebabkan faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Menghuraikan mengenai situasi guna tenaga, Mohd. Uzir berkata, pada November bilangan penduduk bekerja menurun sebanyak 11,000 kepada 15.2 juta orang (Oktober 2020: 15.21 juta)
selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.

Pada bulan tersebut, kumpulan pekerja meningkat 0.2 peratus kepada 11.78 juta, namun golongan yang bekerja sendiri berkurangan sebanyak 0.6 peratus kepada 2.41 juta orang.

“Kumpulan ini sebahagian besar terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai-gerai, pekerja sambilan serta pekebun kecil,” katanya.

Berhubung kedudukan keseluruhan tenaga buruh, Ketua Perangkawan berkata, kes baharu Covid-19 terus mencatatkan peningkatan pada purata melebihi 1,500 kes sehari pada Disember lalu.

“Namun, aktiviti ekonomi terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat dan lebih banyak aktiviti perjalanan domestik dibuat berikutan perayaan Krismas, cuti sekolah dan cuti akhir tahun.

“Secara keseluruhannya, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, dijangka permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020,” katanya.