fbpx

Wang kasino lebih RM53 juta hilang, polis Korea buru rakyat Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar menunjukkan ruang dalaman Landing Casino Jeju Shinhwa World di Korea Selatan. - Kredit foto: www.shinhwaworld.com

SEOUL – Polis Korea Selatan melancarkan  operasi memburu seorang pekerja warga Malaysia selepas sejumlah wang tunai hilang secara misteri dari sebuah kasino milik firma Hong Kong di pulau peranginan Jeju, lapor portal berita South China Morning Post (SCMP) hari ini.

Jeju Shinhwa World yang merupakan antara resort terbesar di Korea Selatan membuat   laporan polis pada minggu lalu  dengan menyatakan, wang berjumlah  14.56 bilion won (RM53.7 juta), semuanya dalam not mata wang Korea Selatan, hilang dari Landing Casino yang terletak dalam pekarangannya, demikian menurut agensi berita Yonhap.

Firma Hong Kong, Landing International Development Ltd. yang merupakan  pemilik dan pengendali Jeju Shinhwa World mendedahkan kehilangan wang tunai tersebut menerusi laman webnya minggu ini.

“Lembaga pengarah syarikat ingin memaklumkan kepada pemegang saham dan pelabur bahawa pada 4 Januari 2021, pengurusan Kumpulan mendapati bahawa sejumlah dana dianggarkan sebanyak 14.56 bilion won yang disimpan di Jeju, Korea Selatan, telah hilang,”  demikian menurut Landing International dalam kenyataan di laman webnya.

“Buat masa ini, pengurusan Kumpulan masih gagal berhubung dengan kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan dana tersebut. Syarikat dengan segera telah melaporkan insiden itu kepada polis di Korea Selatan dan mereka sedang melakukan siasatan,” kata  kenyataan sama.

Seorang pegawai kanan di Balai Polis Jeju mengesahkan bahawa kes itu sedang disiasat.

“Saya tidak boleh berikan butiran terperinci kerana kes ini masih disiasat,” katanya.

Kakitangan itu yang merupakan  seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an, masih bebas selepas mengambil cuti pada akhir Disember tahun lalu.

Polis di Jeju telah mengambil rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dari kasino tersebut tetapi rakaman CCTV masa kecurian dipercayai telah dipadamkan, lapor Yonhap.

Polis mengesyaki insiden itu membabitkan sejumlah pelaku kerana wang tunai yang hilang itu dianggarkan seberat 280 kilogram dan terlalu  berat untuk seorang individu memindahkannya.

Polis  juga berkata, wang tunai itu mungkin masih berada di Jeju kerana amat sukar untuk membawa keluar sejumlah besar wang besar menerusi lapangan terbang atau pelabuhan.

Landing International Development Limited ialah sebuah firma pelaburan yang mempunyai kepentingan dalam resort dan bisnes perjudian.

Di Korea Selatan, projek Jeju Shinhwa World milik firma itu terdiri daripada empat hotel mewah, sebuah kondominium, taman tema dan kompleks beli-belah. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN