LIVERPOOL – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti percaya penyerangnya, Dominic Calvert-Lewin akan kembali menemui sentuhan gol.
Pengurus dari Itali itu percaya, penangguhan aksi menentang Manchester City ekoran penularan wabak Covid-19 menyebabkan beliau menukar fikiran dengan menyenaraikan semula pemain itu menentang West Ham United awal pagi esok.
Pada awal bulan lalu, Ancelotti mendedahkan rancangannya untuk memberikan rehat untuk Calvert-Lewin ketika jadual pada musim perayaan.
Penyerang itu hanya beraksi pada separuh masa pertama ketika menentang Fleetwood Town pada saingan Piala Liga Inggeris kira-kira tiga bulan lalu dan kemudian dia hampir diturunkan dalam kesebelasan utama setiap perlawanan selepas itu.
Bagaimanapun, Ancelotti menjangkakan pemain tonggaknya itu akan direhatkan selepas kejayaan menewaskan Sheffield United sebelum ini tetapi penangguhan aksi menentang City menyebabkan beliau percaya Calvert-Lewin sudah mendapat rehat yang cukup.
“Ya, ia sudah berubah. Memang benar sebelum ini dia tidak mempunyai peluang untuk berehat tetapi saya fikir dia sudah
kembali cergas.
“Pada aksi terakhir, kami tidak mendapat peluang yang banyak dari segi penguasaan bola dan kurang melakukan hantaran lintang kerana ramai pemain pertahanan kami mengalami kecederaan menyebabkan kami terpaksa menukar cara permainan.
“Perubahan tersebut menyebabkan penyerang seperti Calvert-Lewin sukar untuk mendapatkan peluang terbaik melakukan jaringan. Dia mendapat beberapa peluang dan terlibat dalam beberapa situasi penting seperti penalti ketika bertemu Chelsea dan gol pertama menentang Arsenal.
“Saya yakin dia akan kembali menemui sentuhan terbaiknya,” katanya. – AGENSI














