fbpx

JPJ, SPRM wujud kerangka kerja tingkatkan tahap integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JPJ, SPRM wujud kerangka kerja tingkatkan tahap integriti.

PUTRAJAYA – Satu kerangka kerja dan kolaborasi rapat diwujudkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke arah menyuburkan budaya kerja berintegriti tinggi di seluruh pejabat jabatan itu.

Perkara itu dibuat dalam sesi lawatan kunjungan hormat Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.

Zailani berkata, beliau berazam untuk meningkatkan imej positif JPJ ke tahap yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan tahap integriti dalam kalangan warga kerja jabatan tanpa mengetepikan aspek kolaborasi rapat dengan agensi penguatkuasa lain di negara ini.

Beliau menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan apa juga salah laku yang melibatkan mana-mana warga kerja JPJ dengan pihak-pihak luar yang bersangkutan aspek integriti.

“Selain itu, pihaknya mengamalkan pendekatan polisi pintu terbuka dengan apa-apa juga syor daripada orang awam ke arah meningkatkan kecekapan jabatan dalam penyampaian perkhidmatan dan adaptasi aspek pendigitalan,” katanya dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Sementara itu, Azam menyambut baik hasrat itu serta berjanji akan memberi kerjasama padu melalui penempatan Certified Integrity Officer (CeIO) di Bahagian Integriti JPJ.

“Hubungan strategik antara pihak JPJ dan SPRM telah direalisasikan sejak dahulu melalui pelaksanaan operasi bersama, seperti Ops Kenderaan Klon, Penipuan Ujian Lesen Memandu dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menyemak semula Nota Kerjasama (JPJ-SPRM) yang telah dimeteraikan pada tahun 2017 ke arah usaha untuk menambahbaik dan memantapkan hubungan kerja antara kedua-dua jabatan tersebut.

“JPJ dan SPRM komited dalam memperkasakan aspek integriti serta tadbir urus yang telus dalam pelaksanaan tugasan rutin melalui hubungan kerja strategik antara kedua-dua pihak,” kata kenyataan itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI