fbpx

8 ceroboh hutan simpan kekal ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh daripada lapan individu yang ditahan selepas disyaki menceroboh Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi petang semalam.

JOHOR BAHRU – Tindakan sekumpulan lapan individu memasuki kawasan Air Terjun Sungai Pelepah Kiri, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi dekat sini membawa padah apabila ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Johor petang semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Datuk Salim Aman berkata, dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, lapan daripada mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti mendaki Hutan Simpan Panti tanpa permit.

“Bahagian Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Johor Selatan bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Polis Batu Ampat Kota Tinggi, Johor telah membuat rondaan bersepadu bagi memantau aktiviti pencerobohan Hutan Simpanan Kekal di Hutan Simpan Panti.

“Hasil rondaan tersebut, semakan ke atas lapan individu (tujuh lelaki dan seorang wanita) disyaki telah menceroboh Air Terjun Sungai Pelepah Kiri, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Salim berkata, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Batu Ampat, Kota Tinggi untuk diambil keterangan dan kes disiasat Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Salim, kes tersebut diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan, Jabatan Perhutanan Negeri Johor serta akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

“JPNJ menasihatkan orang awam agar mendapatkan maklumat yang jelas berkaitan keperluan dan kaedah permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal di Pejabat Hutan Daerah terdekat sebelum menjalankan apa-apa aktiviti di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) terlibat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pencerobohan di dalam HSK perlulah memaklumkan secara rasmi beserta bukti bagi membolehkan jabatan ini menjalankan siasatan dan tangkapan sekiranya laporan tersebut benar bagi mereka yang terlibat,”katanya.

Salim berkata, pihaknya bersama agensi penguatkuasa yang lain akan sentiasa menjalankan operasi pemantauan bersepadu bagi memastikan aktiviti pencerobohan dan lain- lain di dalam HSK dapat di bendung.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI