PETALING JAYA – Bagi mendapatkan wang mudah dan cepat, segelintir scammer kini dikesan ligat menyamar sebagai ejen yang kononnya menyediakan rumah inap desa dengan menyasarkan penyewa yang mahukan harga rendah berbanding pasaran.
Modus operandi scammer berkenaan ialah mendapatkan penyewa terlebih dahulu melalui iklan di Airbnb atau aplikasi WhatsApp.
Kemudian, scammer berkenaan akan menyewa rumah tersebut daripada pengusaha sah beberapa hari bagi membolehkan mangsa datang untuk melihat rumah.
Selepas penyewa menunjukkan minat, scammer berkenaan akan ‘memaksa’ mereka untuk menyerahkan deposit dan segala urusan dilakukan secara online.
Menariknya,harga sewaaan rumah yang ditawarkan lebih murah sehingga 50 peratus pada kadar antara RM700 hingga RM900 berbanding harga biasa antara RM1,200 hingga RM1,500.
Airbnb merupakan platform pasaran online yang membolehkan pemilik menawarkan rumah untuk disewa kepada pengguna.
Urusan pembayaran tidak memerlukan pemilik bertemu dengan penyewa sebaliknya dilakukan menerusi aplikasi tersebut dan kunci diletakkan di dalam peti keselamatan.
Seorang pengusaha rumah penginapan Airbnb, Umar Abd. Aziz, 26, yang mendedahkan taktik berkenaan memberitahu, lima rumah inap desanya di I-City, Shah Alam dijadikan umpan oleh pihak tidak
bertanggungjawab untuk memancing penyewa terdesak.

Katanya, kegiatan itu terbongkar apabila dia datang untuk membersihkan rumah inap desanya selepas penyewa keluar.
“Sebaik memasuki unit-unit rumah tersebut untuk tujuan pembersihan setelah tempoh penginapan tamat, saya terkejut apabila mendapati kesemuanya telah disewakan kepada orang lain padahal unit-unit itu hanyalah rumah inap desa untuk jangka masa pendek.
“Sebaik ditanya, penyewa-penyewa itu memberitahu mereka melihat iklan rumah di laman seperti Mudah.my selain disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui semalam.
Tambahnya, scammer berkenaan menggunakan gambar unit yang diambil daripada laman web dan aplikasi seperti Airbnb dan Agoda untuk diiklankan.
Umar menyewa unit-unit tersebut dairpada pemilik untuk menjalankan perniagaan inap desanya.
Jelasnya, modus operandi scammer berkenaan adalah dengan menyewa inap desa untuk beberapa hari bagi membolehkan mangsa datang untuk melihat sendiri unit itu.
“Dalam kes saya, scammer menggunakan laman web Agoda untuk membuat tempahan unit-unit rumah saya menggunakan identiti dan akaun palsu.
“Saya difahamkan oleh mangsa-mangsa terlibat, bahawa mereka perlu segera membuat pembayaran sekiranya tidak mahu terlepas peluang mendapatkan unit yang cantik dengan kadar yang murah iaitu antara RM700 hingga RM900.
“Kelima-lima mangsa kemudian membayar deposit rumah setelah menandatangai kontrak sewaan.
“Mereka (penyewa) akhirnya tersedar selepas diberitahu bahawa unit yang diduduki itu telah disewakan pemilik kepada saya selaku pengusaha Airbnb.
“Saya berasa kasihan kerana ada mangsa yang datang dari Johor Bahru dan ada yang membawa barang-barang dari rumah lama mereka untuk tinggal di unit itu, namun akhirnya tertipu,” jelasnya.
Tambahnya, jumlah yang ditipu pula dianggarkan antara RM2,100 hingga RM2,700 daripada seorang mangsa sahaja menjadikan jumlah keseluruhan lebih RM12,000 dalam masa sehari.-K ONLINE














