fbpx

Kasma bakal kembali ke CEV, ARRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KASMA tidak lagi beraksi bersama SAG Team pada saingan MotoGP dalam kelas Moto2 sebaliknya bakal meneruskan karier pada saingan CEV dan ARRC bagi musim depan.

SEORANG demi seorang pelumba negara hilang tempat pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), kini giliran Kasma Daniel Kasmayudin ‘ditendang’ keluar daripada pasukan SAG Team dan tempatnya digantikan dengan pelumba muda berusia 21 tahun dari Belanda, Bo Bendsneyder.

Perkara itu berlaku selepas TKKR Racing Team membuat keputusan menamatkan penajaan bersama pasukan tersebut selepas Mandalika Racing Team (MRT) dari Indonesia bersetuju menjadi rakan penaja bersama pasukan berkenaan bagi musim 2021.

Ketiadaan Kasma (Moto2) dan Khairul Idham Pawi (Moto3) menyaksikan Hafizh Syahrin Abdullah menjadi pelumba tunggal negara yang kekal beraksi pada saingan MotoGP dalam kelas Moto2 musim depan.

Terdahulu, bapa Kasma iaitu Kasmayudin Margono yang dihubungi Kosmo! semalam mengesahkan anaknya itu tidak lagi bersama SAG Team pada musim depan.

“Kami hanya menunggu keputusan daripada SAG Team sendiri selepas mereka mengumumkan kerjasama dengan pasukan dari Indonesia. Hari ini segala­nya jelas dan Kasma tidak akan bersama mereka pada saingan Moto2 musim depan meskipun masih mempunyai kontrak sehingga 2022.

“Kami terima keputusan itu dengan hati terbuka dan perpisahan ini dibuat dengan cara yang baik. SAG Team juga memohon maaf atas kesulitan ini,” kata Kasmayudin.

Kasmayudin turut menjelaskan, beliau sedang berusaha memastikan karier anaknya tidak terhenti sekerat jalan dan bertekad untuk kembali pada perlumbaan CEV Moto2 Eropah dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Kami sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pasukan CEV dan ARRC. Pada masa sama, kami juga sedang berbincang dengan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) untuk mendapatkan bantuan kewa­ngan bagi menyertai perlumbaan tersebut,” tambahnya.

Kasma pernah beraksi pada saingan ARRC 2019 kategori SUPERSPORTS 600cc bersama pasukan Hong Leong YAMAHA Malaysia dan muncul selaku naib juara.
Pada tahun sama, Kasma juga beraksi pada saingan CEV 2019 bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior Team.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI