fbpx

Terengganu bebas daging sejuk beku meragukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saharuddin (kiri) memeriksa harga kentang yang dijual di sebuah pasar raya di Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan semua bekalan daging sejuk beku yang dijual di Terengganu mempunyai sijil pengesahan halal.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd. Kia berkata, pemeriksaan pihaknya di semua premis perniagaan di negeri ini tidak menjumpai sebarang stok daging sejuk beku daripada jenama yang terlibat dalam kartel penyeludupan daging tidak halal baru-baru ini.

“Pemeriksaan menyeluruh melibatkan pembekal, peruncit dan peniaga di seluruh Terengganu yang berakhir baru-baru ini mendapati bekalan daging sejuk beku yang dijual adalah halal.

“Semuanya memiliki logo sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sebelum ini, taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dan kemudiannya dibungkus semula dengan logo pengesahan halal serta menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia telah dikesan.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) juga mendapati kartel berkenaan dipercayai berselindung sebagai sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku.

Saharuddin berkata, sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna dalam kalangan umat Islam di Terengganu agar tidak khuatir dan was-was untuk membeli daging sejuk beku.

Beliau juga memberi jaminan pemeriksaan secara berkala yang berterusan akan tetap dilakukan bagi memastikan tiada stok bungkusan daging sejuk beku yang meragukan daripada memasuki negeri ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI