fbpx

Tiada aduan kenaikan harga bawang India di NS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Veerapan (kiri) dan Ain Arjuna pada perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban hari ini.

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna biar pun berlaku kenaikan mendadak harga bawang India di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, peningkatan harga tersebut dikesan berlaku sejak September lalu dan difahamkan ia berpunca daripada larangan eksport yang dikenakan India.

“Kami tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna di negeri ini berkaitan kekurangan bekalan bawang atau pun kenaikan harga yang tidak munasabah oleh penjual.

“Di negeri ini, secara amnya, turut menerima kesan berikutan situasi harga dan bekalan bawang India yang berlaku diseluruh negara. Justeru, pihak kami sentiasa memantau dan memastikan bekalan dan harga bawang dalam negeri sentiasa mencukupi dan berada di paras harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman

Bagaimanapun, tambah Veerapan, berdasarkan rekod, KPDNHEP di negeri ini telah mengemukakan dua notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Kami telah mengemukakan satu notis kepada pengimport bawang di Seremban manakala satu lagi kepada peruncit di Port Dickson.

“Peniaga perlu memberikan makluman balas terhadap notis yang dikemukakan itu dan siasatan lanjut akan dilakukan oleh Unit Anti Pencatutan KPDNHEP Negeri Sembilan. Selain itu, 12 notis mudah turut dikemukakan kepada rantaian perniagaan seperti peruncit dan pemborong bagi mendapatkan maklumat harga bawang,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, bekalan dan harga bawang turut dilakukan oleh 30 orang Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Negeri Sembilan.

“Terdapat 46 premis perniagaan yang terpilih di negeri ini yang terdiri daripada pasar awam dan pasaraya menjadi lokasi pemantauan secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP Negeri Sembilan memaklumkan, bekalan keperluan asas terutamanya barangan mentah di negeri ini dijamin mencukupi terutama bagi menampung keperluan sepanjang perayaan Krismas.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI