PETALING JAYA – Kegiatan seorang lelaki tempatan yang aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu tidak berpanjangan apabila ia berjaya dihidu sekaligus ditumpaskan pihak polis menerusi satu operasi khas pada 17 Disember lalu.
Operasi yang dilaksanakan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu dibuat kira-kira pukul 5.20 petang susulan maklumat dan hasil risikan yang dilakukan.
Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, dalam operasi tersebut pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di kawasan parkir sebuah kediaman di Taman Mastiara, Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan pada tubuh suspek telah menemui serangkai anak kunci dan hasil soal siasat yang dilakukan telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di kawasan tersebut.
“Di rumah tersebut kami telah menemui dadah disyaki serbuk MDMA (2,162 gram), erimin 5 (660 gram), ecstasy (488 gram) dan ketamin seberat (48 gram) yang disembunyikan di situ,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Adnan, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM134,120 dan boleh dibekalkan kepada 15,000 orang penagih dadah.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin serta mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan lelaki itu kini direman tujuh hari sehingga 24 Disember di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” tegas beliau.
Tambah Adnan, suspek bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Lembah Klang sejak enam bulan lalu dan dengan penahanan lelaki itu pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan. – K! ONLINE














