fbpx
Gambar hiasan.

Pegawai Rela dalang jual peluru kepada anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Jeli ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan penjualan peluru dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Datuk Shafien Mamat berkata, pegawai Rela yang berusia 35 tahun itu, ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, kira-kira pukul 10 malam tadi.

Katanya, suspek ditahan di kawasan Jeli, selepas pihak polis menjalankan siasatan lanjut terhadap dua anggota Rela yang ditahan sebelum ini.

“Hasil siasatan mendapati, terdapat bukti salah laku yang dibuat oleh pegawai Rela terbabit.

“Pegawai Rela itu dipercayai telah membuat permohonan permit membeli peluru menggunakan nama pemegang lesen senjata api tanpa pengetahuan anggota Rela berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang anggota Rela yang dipercayai meminjamkan senapang patah kepada rakannya ditahan dalam serbuan berasingan di dua rumah di Kampung Jeli Dalam, Pekan Lama, di Jeli.

Dalam serbuan pertama, polis menyerbu sebuah rumah tempat tinggal seorang buruh berusia 45 tahun, pada pukul 8 malam di Kampung tersebut.

Dalam serbuan itu, polis menemui selaras senapang patah bersama 68 butir peluru hidup dan 46 kelongsong peluru.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, suspek juga sedang memangku jawatan sebagai pegawai Rela daerah Jeli.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap dua suspek yang ditahan sebelum ini, mendapati peluru berkenaan dibeli oleh pegawai Rela terbabit.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati ianya negatif dan kini ditahan reman bermula hari ini sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Senjata 1960. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN