fbpx

Ibrahim dilantik Pesuruhjaya Sukan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrahim

PUTRAJAYA – Setiausaha Bahagian (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ibrahim Mohd. Yusof dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan (PJS) baharu berkuat kuasa hari ini hingga 20 Disember 2022.

KBS dalam satu kenyataan berkata, Ibrahim pernah berkhidmat di KBS dengan jawatan terakhirnya sebagai Setiausaha Bahagian (Dasar dan Perancangan Strategik) dan telah terlibat secara langsung dengan Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 (Akta A 1570).

Menurut kenyataan itu, beliau turut terlibat dalam penggubalan polisi sukan termasuk penyediaan Pelan Strategik KBS dan Kertas Strategik KBS bagi Rancangan Malaysia ke-12.

“KBS yakin dan percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau akan dapat memperkasakan tadbir urus Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPJS) dan seterusnya memacu kecemerlangan dalam pembangunan sukan negara,” katanya.

KBS berkata, Ibrahim yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Maklumat dan Sarjana Muda Statistik dari UiTM mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan khasnya dalam perancangan dasar dan pembangunan sukan.

“Beliau telah memulakan karier dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1997 dan telah memegang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan,” katanya kenyataan tersebut.

KBS berkata, pihaknya berharap agar semua persatuan sukan dapat memberikan kerjasama penuh kepada beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai PJS.

Ibrahim menggantikan PJS sebelum ini iaitu Wirdati Mohd. Radzi yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 30 Oktober lalu selaras dengan pemendekkan kontrak perkhidmatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI