fbpx

Perez sertai Red Bull

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEREZ yang disingkirkan oleh Racing Point menyertai Red Bull bagi saingan musim depan. – AFP

LONDON – Masa depan pelumba Formula Satu (F1) kelahiran ­Mexico, Sergio Perez akhirnya terjawab selepas menandatangani kontrak bersama pasukan Red Bull bagi saingan musim 2021.

Perez yang masih segar ­dengan kejuaraan Grand Prix (GP) Sakhir awal bulan ini dipilih untuk menggantikan pelumba muda kacukan England-Thailand, Alex Albon yang diturun­kan pangkat sebagai pelumba simpanan pasukan.

Pelumba berusia 30 tahun itu bakal menjadi pemandu ‘No. 2’ buat pasukan yang berpangkalan di Milton Keynes, England dan akan berganding bersama ‘ayam tambatan’ Red Bull, Max Verstappen.

Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner mengesahkan Perez telah bersetuju untuk menerima tawaran yang diberikan oleh pasukan dengan kontrak selama semusim.

“Kami berfikir panjang sebelum membuat keputusan ini ke­rana pasukan sangat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Albon sepanjang musim ini. Justeru, kami membuat keputusan untuk kekalkan khidmat Albon sebagai pelumba simpanan.

“Mungkin dia akan kembali diberikan peluang untuk berada dalam skuad utama pada saingan musim 2022, cuma untuk tahun depan, mustahil bagi pasukan melepaskan peluang untuk menandatangani khidmat Perez,” katanya.

Sementara itu, Perez mengakui sangat teruja apabila diberi peluang mewakili pasukan yang memiliki reputasi hebat seperti Red Bull dan berjanji akan membalas kepercayaan tersebut de­ngan menampilkan aksi cemerlang.

“Saya bersyukur apabila spekulasi mengenai masa depan saya akhirnya selesai. Fokus dan tumpuan utama akan diberikan pada saingan 2021 dan saya tidak sabar untuk bergandingan de­ngan pelumba berbakat seperti Verstappen,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI