fbpx

[VIDEO] Representasi ketiga ditolak, bicara kes Ahmad Maslan Julai 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Maslan (tengah) selepas pengurusan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan gagal dalam permohonannya buat kali ketiga untuk menggugurkan dua pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria pada pengurusan kes itu di hadapan Hakim Hakim Ahmad Kamar Jamaludin di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menurut Siti Noor Hafizan representasi itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara pada 5 Oktober lalu. Berikutan itu perbicaraan kes tersebut akan diteruskan.

Dalam prosiding sama, Siti Noor Hafizan turut memaklumkan tarikh perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula pada 24 Disember ini terpaksa ditangguhkan berikutan Timbalan Pendakwa Raya dan Pegawai Penyiasat yang mengendalikan ini sedang menjalani kuarantin.

Katanya, sehubungan itu pihak-pihak memohon satu tarikh baharu untuk perbicaraan kes dijalankan.

Ketika prosiding, peguam yang mewakili Ahmad, Mohamed Baharudin Mohd. Ariff memaklumkan pihak pembelaan hanya berkelapangan pada bulan Julai 2021 memandangkan dari Januari hingga Mei pihaknya mempunyai kes-kes lain di Mahkamah Tinggi di sini dan di Shah Alam.

Sementara Siti Noor Hafizan berkata, pihak pendakwaan berkelapangan antara bulan Februari hingga Mei 2021.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah Hakim Ahmad Kamar kemudian menetapkan 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai 2021 bagi perbicaraan kes tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama Ahmad, 54, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi penyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI