fbpx

Rancang perjalanan dengan TTA – PLUS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengguna lebuh raya disaran merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan oleh PLUS sebelum memulakan perjalanan menjelang sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru ini.

PETALING JAYA – Pengguna lebuh raya disarankan untuk merancang lebih awal perjalanan mereka sempena sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru dengan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Jadual berkenaan dikeluarkan untuk mereka yang melakukan perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan di antara 22 Disember hingga 19 Januari 2021.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, jadual berkenaan merupakan salah satu langkah untuk menyuraikan trafik dan mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat dan rawat pada musim perayaan ini.

“Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.

“Manakala, pengguna lebuh raya yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas pukul 12 tengah hari,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, pengguna lebuh raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama pula, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.

“Kami amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan yang disarankan untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, sekaligus mengurangkan kesesakan.

“PLUS juga menjangkakan peningkatan trafik sehingga 30 peratus atau kira-kira 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari biasa akan menggunakan lebuh raya kendalian PLUS sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baru yang akan datang,” jelas beliau.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihati untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sepanjang melakukan perjalanan di lebuh raya serta memandu dengan selamat dan memastikan kenderaan telah diselenggara dengan baik sebelum perjalanan dimulakan.

“Pastikan juga baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mencukupi pada setiap masa. Terdapat kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara bagi membolehkan pelanggan lebuh raya menambah nilai kad lebih awal.

“Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, pengguna lebuh raya boleh memuat turun aplikasi PLUS, pergi ke Twitter @PLUSTrafik, berinteraksi secara digital menerusi Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik lebuh raya atau menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000,” ujar beliau. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI