fbpx
MAN BAI

Alkisah Kau Ilhamku 2.0 Man Bai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘BERIBU bintang di langit  kini menghilang, meraba aku dalam kelam. Rembulan mengambang kini makin suram. Pudar aku dalam ilham’.

Bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu Kau Ilhamku dendangan Man Bai itu sentiasa berbekas dalam fikiran ramai, penulis tidak terkecuali.

Masa bergulir deras, tanpa sedar lagu menjadi siulan ramai generasi 1990-an tersebut telah menjangkau usia genap 25 tahun.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, lagu Kau Ilhamku paling banyak diputarkan di corong-corong radio, stesen televisyen dan platform media, sekali gus membuktikan lagu nyanyian bekas vokalis kumpulan Gersang itu kekal relevan meski tahun bersilih ganti.

Justeru, bersempena dengan sambutan jubli perak, lagu ciptaan Asmin Mudin itu telah diberi nafas baharu yang berjudul Kau Ilhamku 2020.

Mengikut fakta, sebenarnya ini bukanlah kali pertama Man Bai atau nama penuhnya Abdul Rahman Osman, 53, merakamkan semula lagu ikonik tersebut.

Pada 2011, Man Bai pernah menghasilkan versi lain lagu Kau Ilhamku 2011 yang berpaksikan petikan gitar sebagai bunyi utama, namun untuk tahun 2020, lagu berkenaan diberikan susunan muzik yang gemilang dengan iringan petikan piano, tiupan seruling dan gesekan biola, sekali gus menyerlahkan lagi keindahan melodi lagu tersebut.

“Mungkin ada suara-suara kecil yang berkata, ‘Man Bai dah tak ada lagu lain ke nak buat. Balik-balik Kau Ilhamku sahaja’.

“Tak mengapalah, saya okey sahaja. Bila adanya lagu rakaman kali ketiga, itu bermaksud lagu ini masih pengikut.

“Kau Ilhamku sudah berusia 25 tahun. Ramai yang membesar dengan lagu ini dan saya mahu generasi baharu hari ini turut sama mendengar muzik ini dan agar karya ini relevan sepanjang zaman.

“Menerusi Kau Ihamku 2020, saya cuba memberikan penghargaan sewajarnya kepada lagu yang pernah menaikkan semula nama saya pada suatu masa dahulu.

“Dengan memberikan nafas baharu kepada lagu ini dengan susunan muzik yang lebih gah, lagu ini menyajikan sajian muzik yang lebih indah.

“Sesuai dengan maksud lagu ini yang mengangkat taraf seseorang yang menjadi sumber ilham, saya cuba mengangkat taraf lagu ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ditebak dengan soalan, bagaimana tercetusnya projek kelahiran semula Kau Ilhamku, Man Bai mengakui mendapat inspirasi penghasilan semula karya berkenaan ketika berada di rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.

BAKAL melancarkan single baharu berjudul, Manusia Biasa pada tahun hadapan, Man Bai berharap single berkenaan mampu meninggalkan kesan sama seperti Kau Ilhamku.

“Asalnya saya buat suka-suka sahaja dan menghantar demo lagu itu kepada syarikat rakaman Universal Music Malaysia melalui pegawai perhubungan awam.

“Kemudian saya dihubungi mengatakan pihak label mahu berjumpa dan dari situ terhasillah Kau Ilhamku 2020.

“Mac Chew turut bertindak selaku penerbit, komposer dan penyusun muzik untuk lagu ini. Asalnya saya mahu dedikasikan lagu tersebut kepada petugas barisan hadapan (frontliners), tetapi melihatkan sudah ramai penyanyi kita menghasilkan lagu berkonsepkan sama, jadi Universal Music menukarnya ke arah meraikan ulang tahun ke-25 single Kau Ilhamku.

“Untuk pengisian muzik video pula, saya selitkan sekali tribut mengenang legenda seni negara dan antarabangsa.

“Biarpun mereka sudah tiada, karya agung mereka masih dan akan terus menjadi sumber ilham kepada penggiat dan peminat seni muzik,” ujarnya kepada HibGlam.

Buka studio

Untuk rekod, lagu Kau Ilhamku pernah diangkat sebagai lagu runut bunyi filem Layar Lara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang pernah dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 pada 1997.

Kau Ilhamku 2020 sudah mula dilancarkan pada 4 Disember di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Video muzik rasminya juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Kembali ke akar jiwanya, pemilik nama sebenar, Abd. Rahman Osman itu dengan tenang mengakui dirinya sekadar seorang hamba seni.

Sejak empat dekad lalu, lelaki kelahiran Johor Bahru bekerja kuat demi keluhuran cintanya terhadap muzik. Justeru, sebagai sebuah penghargaan terhadap titik peluh sendiri, dia juga mahu membina empayar bawah jenama sendiri.

Atas dasar itu, Man Bai enggan lagi berlama-lama menangguhkan hasrat memiliki studio muzik sendiri. Studio yang diberi nama Sinetones Studios Sdn. Bhd. tersebut bakal direalisasikan awal tahun hadapan.

Diusik dengan pertanyaan bajet perbelanjaan termasuk kos renovasi yang dikeluarkan untuk sebuah studio muzik yang terletak di Ukay Boulevard, Hulu Kelang tersebut, Man Bai ringkas menjawab, biarlah menjadi rahsia peribadinya.

MAN BAI bertekad mahu terus berada dalam industri seni sampai akhir hayat.

“Insya-Allah saya bercadang untuk membuka studio pada bulan Februari atau Mac 2021. Semua bergantung kepada kerja-kerja renovasi.

“Saya seorang yang sangat cerewet daripada segi hiasan dalaman dan instrumen muzik sebab saya juga seorang jurutera.

“Sebab itulah, saya ambil masa agak lama untuk buka studio sendiri walaupun dah berpuluh tahun dalam industri.

“Sebelum nekad nak buka studio, saya buat kajian kerana tak mahu buat studio asal boleh dan siap sahaja.

“Saya mahu pengunjung yang datang tak kiralah orang seni ke atau orang awam yang jadikan nyanyian dan muzik sebagai hobi akan rasa selesa dan puas.

“Bajet perbelanjaan untuk studio ini saya gunakan sepenuhnya wang simpanan sendiri. Tak perlulah saya kongsikan berapa nilainya,” tuturnya.

Sementara itu, Man Bai turut bercadang mencungkil bakat baharu yang berminat melebarkan sayap dalam bidang muzik serta nyanyian, sekali gus bernaung bawah syarikatnya.

“Insya-Allah, selain saya sebagai artis bawah syarikat rakaman sendiri, saya juga bercadang nak cari penyanyi baharu untuk digilap bakat seni mereka bawah label saya. Semoga apa yang
dirancangkan dapat dipenuhi tidak lama lagi.

“Ada sebuah bilik di studio yang akan dijadikan sebagai green room ( bilik hijau). Dalam itu nanti ada pelbagai aktiviti yang saya akan lakukan. Salah satunya, mungkin bawa ahli kumpulan Gersang dan membuat sebuah persembahan di situ,” ulasnya berhubung pelan awal yang telah dirancang.

Manusia Biasa

Tidak hanya pembukaan studio rakaman yang akan mengawali kalendar 2021, seperkara lain yang sedang bergetar dalam fikirannya kini adalah pelancaran single terbaharunya berjudul Manusia Biasa.

Single berkenaan disifatkan cukup istimewa buat Man Bai kerana hanya selepas 25 tahun, baru kini dia menghadiahkan buah tangan terbaharu kepada peminat.

“Sejak saya memilih untuk bergerak solo, satu-satu single saya ialah Kau Ilhamku. Biarpun hanya sebuah single, tetapi impaknya sangat besar dalam kembara seni saya.

“Sebab itu saya berharap single Manusia Biasa pun akan mampu mengulangi kejayaan sama sebagai Kau Ilhamku.

“Saya akan berusaha supaya lagu ini menjadi pilihan stesen radio, sekali gus dapat memutarkan lagu ini kepada pendengar.

“Insya-Allah, kalau tidak ada aral, single itu akan dilancarkan pada suku pertama atau kedua tahun depan.

“Saya buat lagu baharu ini nak beritahu pada semua bahawa Man Bai masih menyanyi dan tetap aktif dalam lapangan seni suara,” katanya.

Tidak terkurung dek zaman, Man Bai menyedari transisi muzik hari ini bertukar dengan cukup deras dan luar biasa berbanding era 1980-an dan 1990-an.

Katanya, semakin hari industri muzik tempatan diwarnai pelapis muda berbakat besar. Dia juga yakin akan lahir lagi, sebutir bintang yang bakal mengharumkan nama Malaysia di persada dunia selepas ini.

Mengagumi penyanyi rap dan komposer berbakat besar Yonnyboii, Man Bai meletakkan sepenuh pengharapan agar pemuda itu akan menjadi seorang permata bernilai dalam lembaran sejarah seni Malaysia.

“Muzik dan lirik yang disampaikan Yonnyboii semuanya daripada hati. Memang kena dengan situasi masyarakat kita pada hari ini. Itulah realitinya.

“Liriknya ada menyentuh tentang kehidupan manusia yang kadangkala ceria, muram dan suram.

“Dia punya bakat yang sangat besar dan mampu mengagumkan siapa sahaja yang mendengar muziknya.

“Saya berharap akan ada lebih ramai bakat muda seperti Yonnyboii yang serius berkarya daripada jiwa,” getusnya.

POPULAR