fbpx

15,346 rakyat Malaysia di Singapura diberhentikan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan

PUTRAJAYA – Kira-kira 15,346 rakyat Malaysia di Singapura telah diberhentikan kerja berdasarkan statistik yang diterima Kementerian Sumber Manusia (KSM) setakat ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, data itu berpandukan kepada rekod keluar yang diperoleh daripada pihak Singapura.

Beliau berkata, dia telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KSM untuk membangunkan pangkalan data yang komprehensif mengenai pekerja Malaysia di republik itu.

“Ini merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memantau perkembangan individu yang diberhentikan kerja di Singapura.

“Melalui data tersebut KSM boleh merangka pelan tindakan selanjutnya bagi membantu golongan berkenaan terutamanya dalam hal penempatan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Saravanan menggesa semua rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura untuk hadir ke mana-mana pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan bantuan carian pekerjaan melalui MYFutureJobs iaitu Portal Pekerjaan Negara.

Menurutnya, kira-kira lima peratus atau hanya 802 rakyat Malaysia yang diberhentikan kerja di Singapura telah berdaftar dengan portal MYFutureJobs setakat 7 Disember lalu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 195 orang telah berjaya kembali bekerja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap menerusi inisiatif itu, kerajaan dapat membantu rakyat Malaysia di Singapura yang terkesan untuk bekerja semula dan boleh terus menyara kehidupan diri dan keluarga.

“Mereka seterusnya dapat menyumbang kepada pasaran buruh Malaysia dan membantu meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KSM menerusi Perkeso menganjurkan Karnival PenjanaKerjaya Johor
2020 khas untuk semua rakyat Malaysia yang telah diberhentikan kerja di Singapura bermula hari ini sehingga 16 Disember ini.

Katanya, karnival secara dalam talian itu adalah antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan KSM dalam
membantu individu-individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sebanyak 30 majikan menyertai karnival ini dengan lebih 1500 jawatan kosong ditawarkan.

“Justeru, saya menggesa semua rakyat Malaysia yang diberhentikan kerja di Singapura untuk menyertai karnival ini melalui link pendaftaran https://bit.ly/IVJohorDis2020,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Careline PERKESO, 1-300-22-8000 atau 03-80915300. –  K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI