fbpx

Wajib temuduga pemohon lesen perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi (dua dari kiri) pada program Kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang di Padang Housing Trust, Ipoh hari ini.

IPOH – Individu yang memohon atau memperbaharui lesen perniagaan dan penjaja diwajibkan hadir sendiri bagi menguruskan perkara tersebut tanpa melibatkan orang tengah untuk memastikan proses kelulusan berjalan dengan telus.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga masih melaksanakan proses menemuduga pemohon sebagai salah satu proses sebelum meluluskan kelulusan agar tidak berlaku penipuan.

Menurut beliau, sehingga kini juga tiada lagi kes pemohon yang menggunakan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia dikesan pihaknya kecuali permohonan menggunakan indentiti individu lain tetapi jumlahnya kecil.

“Semua permohonan lesen perniagaan dan penjaja atau memperbaharui lesen akan diteliti oleh para petugas di Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan MBI.

“Kita akan memanggil setiap pemohon untuk ditemuduga bagi memastikan mereka adalah individu sebenar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang di Padang Housing Trust di sini hari ini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikesan meluluskan pembaharuan dan permohonan lebih 500 lesen penjaja yang menggunakan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia sejak tiga tahun lalu.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1, semakan dalam sistem eLesen DBKL dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara mendapati, tujuh permohonan baharu dan 568 pembaharuan lesen penjaja menggunakan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia, diluluskan antara 2017 hingga 2019.

Sepanjang tahun lalu, laporan audit mengesan 219 daripada 27,274 lesen penjaja aktif DBKL menggunakan kad pengenalan individu yang sudah meninggal dunia, untuk memperbaharui lesen penjaja. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI