MOSCOW – Seorang lelaki yang dilaporkan dalam keadaan mabuk cedera pada bahagian hidung selepas dia digigit seekor kuda di bandar Saint Petersburg di Rusia baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Mangsa dikenal pasti sebagai Vasily berumur 25 tahun dan digigit kuda berkenaan selepas dia bertindak cuba mencium haiwan tersebut, menurut laporan portal berita tempatan, Fontanka.ru.
Vasily didakwa melakukan aksi pelik itu selepas cubaannya untuk memikat seorang wanita yang menunggang kuda berkenaan gagal.
“Selepas pelawaan mangsa ditolak, dia cuba mencium kuda berkenaan. Wanita itu sudah memberi amaran awal bahawa kuda itu mungkin akan menggigitnya jika bertindak sedemikian.
“Tindakan tersebut akhirnya menyebabkan mangsa cedera dan kehilangan sebahagian hidungnya selepas digigit kuda,” menurut laporan.
Sebaik digigit kuda, lelaki malang itu segera dikejarkan ke sebuah hospital berhampiran untuk menyambung semula bahagian hidungnya.
Sekeping gambar yang dikongsi menerusi saluran media sosial Telegram menunjukkan keadaan hidung lelaki itu dibalut kain kasa selepas dia selesai menjalani satu pembedahan menyambung semula bahagian hidung yang dipercayai terkoyak. – Agensi