SEPANJANG hampir lapan jam menaiki pesawat AirAsia X jenis Airbus 330-300 dari Kuala Lumpur ke Almaty, Kazakhstan, minda penulis terus tertanya-tanya apakah ‘keistimewaan’ bakal dinikmati apabila tiba ke negara Asia Tengah itu.
Ini kerana, bagi penulis, selain melihat kemegahan seni bina dan keindahan alam semula jadi, penerokaan ‘letusan rasa’ di sesuatu tempat juga antara menjadi keutamaan.
Lebih menarik, hampir 70 peratus populasi Kazakhstan beragama Islam, sekali gus memudahkan pengembaraan penulis mencari hidangan enak di negara tersebut.
Dalam konteks ini, sepanjang pengembaraan selama enam hari ke bumi Almaty, banyak hidangan tempatan telah dicuba, malah ada antaranya terus menjadi kegemaran penulis.
Berdasarkan pemerhatian penulis, hidangan berasaskan daging kuda menjadi antara signatur utama Kazakshtan berikutan menu itu sering dihidangkan di restoran tradisional sekitar Almaty.
Meskipun kedengaran sedikit pelik kerana tidak pernah menikmati daging itu sebelum ini, namun rasanya masih dapat diterima di tekak penulis.
Jika dapat digambarkan, rasa daging kuda yang rata-rata direbus hampir menyamai daging lembu dengan mempunyai sedikit bau hamis seakan daging kambing.
Biasanya, hidangan daging eksotik itu akan dihidangkan bersama pasta ataupun mi selain beberapa hidangan sampingan lain termasuk sayur-sayuran.
Ketika kunjungan penulis ke sebuah restoran tempatan, kami bukan sahaja dihidangkan dengan daging kuda semata-mata, malah turut disajikan dengan minuman susu kuda.

Jujurnya, susu kuda bukanlah seperti susu haiwan lain yang sering dinikmati penulis sebelum ini kerana mempunyai rasa unik dan pelik.
Jika dapat penulis gambarkan, rasa yang dimiliki susu kuda lebih bersifat masam selain mempunyai elemen rasa seakan rumput yang terbakar.
Selain itu, penduduk Almaty turut mempunyai budaya minum teh seperti negara Turkiye dengan kekerapan mereka menikmati minuman itu melebihi tujuh cawan sehari.
Bagi penduduk Almaty, teh Tashkent menjadi antara kegemaran mereka, malah penulis turut jatuh cinta dengan minuman itu memandangkan mempunyai rasa unik dengan campuran pudina dan oren.
Bagi penulis, tidak hairanlah budaya minum teh menjadi kegemaran penduduk setempat kerana suhu di Almaty yang sangat sejuk, lebih-lebih lagi pada musim sejuk mencecah hampir -10 darjah Celsius.
Selain meneroka keunikan ‘letusan rasa’ di Almaty, kunjungan pertama kali penulis ke kota itu turut membuka persepsi baharu terhadap negara Kazakhstan.
Sebenarnya, negara bersempadan dengan China dan Rusia itu menawarkan keindahan landskap semula jadi yang begitu menawan lebih-lebih lagi ketika kunjungan penulis pada musim sejuk.
Bayangkan, di setiap laluan di kota Almaty dipenuhi salji putih, sekali gus menawarkan pemandangan indah yang pastinya memukau setiap mata memandang.
Kesimpulannya, bagi penulis Kazakhstan merupakan antara negara di Asia Tengah yang harus dilawati rakyat Malaysia terutama jika mahu menikmati percutian musim sejuk.
Selain majoriti penduduknya Muslim, mata wang negara ini juga rendah dan tidak membebankan pelancong seperti dari Malaysia untuk bercuti secara mewah pada harga mampu milik.














