fbpx

Buih sabun bongkar pembuangan sisa toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUIH sabun yang terdapat di sistem saliran parit sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah, Klang.

KLANG – Kehadiran buih sabun dengan kuantiti banyak di sistem saliran parit sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah di sini membongkar pembuangan sisa toksik oleh premis mencuci tong terpakai di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang, hari ini.

Dalam serbuan pukul 10 pagi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendapati seorang pekerja asing sempat melarikan diri daripada ditahan di kawasan premis itu.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, semakan mendapati premis itu telah beroperasi sejak tiga tahun lalu melakukan pembuangan sisa tanpa sebarang proses pengolahan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat air cucian tong-tong terpakai termasuk sisa buangan bahan berjadual mengalir ke dalam parit yang terletak di belakang premis.

PREMIS mencuci tong-tong terpakai yang disita di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang hari ini.

“Akitiviti pembuangan itu dipercayai menjadi punca kepada pembentukan buih berwarna putih di dalam parit di sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! hari ini.

Kata beliau, siasatan lanjut mendapati premis itu mendapat bekalan tong itu daripada kawasan perindustrian di sekitar daerah ini.

Tambah Nor Aziah, setiap tong yang telah dicuci akan dijual kepada kilang-kilang yang terlibat dengan pembuatan atau pemprosesan bahan kimia untuk tujuan isian semula.

“Dua sampel sisa buangan terjadual telah diambil selain penyitaan premis.

“Pemilik premis itu didapat telah menyalahi Jadual Pertama, Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang mana tong-tong terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod deskripsi (SW 409) dan aktiviti kitar semula ini hendaklah memperolehi lesen daripada JAS,” katanya.

Terdahulu, pencemaran sisa toksik itu dimaklumkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi laman rasmi Facebooknya dengan aktiviti serbuan dilakukan berdasarkan aduan orang ramai. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI