ALOR SETAR – Orang ramai diminta untuk menderma darah bagi menampung bekalan yang agak kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada ketika ini.
Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HSB, Dr. Siti Nadiah Abdul Kadir berkata, penurunan kutipan darah antaranya disebabkan oleh pengurangan jumlah penderma ekoran penularan wabak Covid-19.
“Ketika jumlah penderma berkurangan, keperluan darah pula didapati meningkat baru-baru ini susulan peningkatan jumlah kes pembedahan elektif dan kes lain yang memerlukan transfusi darah.
“Tanpa stok darah mencukupi, rawatan terhadap pesakit mungkin terjejas. Justeru kami menyeru orang ramai untuk tampil membantu dengan menderma darah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, penutupan institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga menyebabkan jumlah kutipan darah berkurangan apabila program derma darah tidak dapat dijalankan di situ.
“Kita harap orang ramai dapat tampil membantu kerana proses menderma darah cukup mudah dan hanya mengambil masa antara 30 hingga 45 minit sahaja.
“Kriteria asasnya adalah berumur antara 17 hingga 60 tahun, sihat tubuh badan, tidur melebihi lima jam dan tidak mengambi ubat terlarang serta memiliki berat badan 45 kilogram ke atas,” ujarnya.
Tambahnya, setiap pendermaan darah yang dibuat mampu menyelamatkan hingga tiga nyawa.
“Justeru kami berharap lebih ramai yang tampil membantu dalam masa terdekat ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh hadir ke Unit Pendermaan Darah HSB atau Pusat Darah Wilayah di sebelah Penjara Alor Setar dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 04-7406051. – K! ONLINE