fbpx

Atalanta enggan berputih mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAPATA berdepan masalah prestasi apabila gagal meledak sebarang gol dalam enam perlawanan sebelum ini. – AFP

BERGAMO – Atalanta bertekad untuk mempertahankan ke­lebihan yang dimiliki ketika ini apabila dijadual bertemu Ajax pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Atalanta berada pada kedudukan kedua Kumpulan D dengan meraih lapan mata manakala Ajax hanya ketinggalan satu mata di kedudukan ketiga.

Keputusan seri dilihat sudah memadai buat Atalanta, namun mereka berdepan bahaya sekiranya turun dengan mentaliti berkenaan terutama Ajax memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri dan pastinya bermati-matian mencari kemenangan.

Pada aksi pertama di Bergamo sebelum ini, Ajax terlebih dahulu berada di hadapan de­ngan dua gol sebelum Atalanta bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol yang dijaringkan oleh Duvan Zapata.

“Kami mempunyai kelebihan bertandang ke Amsterdam apabila hanya memerlukan keputusan seri untuk layak,” kata jurulatih Atalanta Gian Piero Gasperini.

Pada musim 2019, Ajax yang dibimbing Erik ten Hag berjaya melakar kejutan apabila me­numbangkan Juventus dan Real Madrid untuk mara ke saingan separuh akhir buat kali pertama sejak 1997.

Bagaimanapun, musim lalu mereka gagal mengulangi pencapaian itu selepas beberapa pemain tonggak mereka dijual kepada beberapa kelab gergasi Eropah lain.

Atalanta pula pada musim lalu berjaya mara ke pusingan suku akhir untuk aksi debut di pentas Liga Juara-Juara biarpun tewas dalam tiga perlawanan awal peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, prestasi semasa Atalanta tidak begitu menyenangkan Gasperini apabila mereka hanya meraih satu kemenangan dalam enam perlawanan melibatkan Serie A dan Liga Juara-Juara.

Selain itu, tiga penggempur utama mereka Zapata, Luis Muriel dan Papu Gomez yang meledak 15 gol musim ini gagal menemui sentuhan penyudah dalam enam perlawanan terakhir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI