fbpx

Tonton drama terpilih TV3 dalam platform WeTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA rantaian Bidadari Salju yang bakal menemui penonton TV3 bermula 15 Disember nanti juga antara naskhah terpilih untuk siaran WeTV.

PENERBIT dan pengedar kandungan program dan filem terbesar di Malaysia, Primeworks Studios baru-baru ini mengumumkan satu kerjasama dengan perkhidmatan penstriman video, platform OTT (Over-The-Top), WeTV Malaysia.

Perkongsian strategik tersebut bukan sahaja bakal menghasilkan produksi bersama antara kedua-dua pihak, malah turut menyenaraikan beberapa drama terpilih secara khas untuk tontonan pelanggan WeTV yang boleh ditonton secara percuma selepas satu jam bersiaran menerusi TV3.

Terkini, sebuah drama terbaharu slot Lestary berjudul Sang Pewaris yang ditayangkan bermula 26 November telah dipilih untuk tayangan menerusi WeTV Malaysia.

Drama 13 episod yang dibintangi pelakon pujaan ramai Ben Amir selaku hero dan Amyra Rosli sebagai heroin tersebut mengetengahkan kehidupan Ali daripada ‘zero’ to ‘hero’ dengan unsur-unsur romantis dan konflik kekeluargaan yang muncul satu demi satu.

BARISAN pelakon drama rantaian Sang Pewaris (dari kiri), Wan Sharmila, Fizz Fairuz dan
Amyra Rosli.

“Apabila saya membaca skrip Sang Pewaris, saya terus berminat dan jatuh hati dengan jalan ceritanya.

“Tambahan pula saya berpeluang berlakon dengan beberapa nama senior yang saya kagumi seperti Datuk Fizz Fairuz, Wan Sharmila dan Zamarul Hisyam,” ujar Ben Amir dalam satu
sidang akhbar virtual Ahad lalu.

Sebuah lagi karya drama hebat yang terpilih untuk disiarkan dalam WeTV ialah drama Bidadari Salju.

Drama 28 episod yang mengangkat tema buli dan dendam membariskan pelakon Adam Lee dan Sweet Qismina sebagai teraju utama.

Disiarkan menerusi slot Akasia bermula 15 Disember nanti, naskhah berkenaan mengisahkan gadis miskin bernama Kayra yang akhirnya jatuh cinta dengan senior dan pembuli di sekolahnya bernama Hariz.

Hariz amat membenci Kayra hingga tergamak melemparkan fitnah. Namun, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Apabila mereka dewasa, Kayra dan Hariz bertemu semula dan timbul bibit-bibit percintaan antara kedua-duanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya berharap kolaboratif terbaharu tersebut akan memberi anjakan bagi mengukuhkan prestasi Primeworks Studios.

“Kerjasama ini akan dapat membina platform langganan yang utama dengan menawarkan program-program hebat masa kini.

“Secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi strategi dan usaha kami untuk menerbitkan dan menghasilkan kandungan bahan yang lebih hebat,” ujarnya.

Pengurus WeTV Malaysia, Heng Aik Kuang berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Media Prima dalam menerbitkan lebih banyak program tempatan.

“Kami mengharapkan agar lebih banyak program hebat dan bermutu tinggi dapat diterbitkan melalui usahasama ini.

HENG AIK KUANG

“Kehendak dan cita rasa penonton menjadi keutamaan kami selain dapat memberi manfaat dan membantu serta menyokong bakat-bakat di belakang tabir industri tempatan,” katanya.

Pelanggan WeTV juga dapat mengakses filem-filem seperti Aku Bukan Gila, Arus Merah dan program terbitan produksi WeTV.

Kandungan premium WeTV pula boleh dinikmati dengan harga langganan promosi RM7.90 sebulan atau RM79.90 setahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI