fbpx

Kabinet setuju perluas teknologi CMB bina, selenggara jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin

PUTRAJAYA – Cadangan memperluaskan penggunaan teknologi penurapan jalan Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) bagi pembinaan dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negara yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dipersetujui Kabinet pada Jumaat lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perluasan penggunaan teknologi CMB adalah antara usaha untuk mengurangkan impak kejatuhan harga terhadap pendapatan 500,000 pekebun kecil di negara ini khususnya berikutan pandemik Covid-19 melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan getah domestik.

Beliau berkata, anggaran penjimatan  keseluruhan daripada aspek penyenggaraan bagi 1,000 kilometer jalan adalah sebanyak RM167 juta atau 40 peratus lebih rendah berbanding penggunaan bitumen konvensional, sekiranya jangka hayat jalan CMB menjangkau 10 tahun.

“Perluasan penggunaan CMB di jalan raya MARRIS seperti yang disyorkan KPPK, dapat mengukuhkan sumber rujukan domestik kejayaan aplikasi teknologi CMB sebelum ia dapat diperluas di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Mohd.Khairuddin berkata, penggunaan CMB dalam adunan untuk menghasilkan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dapat meningkatkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen melalui ciri-ciri kelikatan serta keanjalannya.

“Penambahbaikan ini meningkatkan daya tahan terhadap proses peredaran masa dan rintangan haba yang memberikan penjimatan terhadap keperluan menyenggara jalan akibat kerosakan seperti aluran, rekahan dan lubang dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan CMB.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk memperbanyakkan turapan jalan raya mengunakan teknologi CMB.

“Projek ini siap sepenuhnya pada Mei lalu merangkumi jalan raya sepanjang 202.68 kilometer di 106 lokasi seluruh negara,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN