fbpx

Ramai pemandu malas beri signal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SHAWKATH AZDE, WARTAWAN EKSEKUTIF

KETIKA menghadiri satu bengkel berkenaan teknologi masa depan kenderaan di C­yberjaya hampir 10 tahun lalu, saya tertarik dengan satu idea dikongsi seorang rakan.

Idea itu adalah satu teknologi yang membolehkan sesebuah kereta ‘bercakap’ dengan kende­raan lain di jalan raya.

Medium komunikasi seperti itu sebenarnya sudah ada pada model kenderaan moden, tetapi dalam konteks ciri keselamatan.

Antaranya ialah penggunaan sistem radar atau pengesan semasa mengaktifkan ciri kawalan jelajah untuk mengawasi jarak dengan kenderaan di hadapan kereta anda.

Teknologi lampu utama kereta tetapan tinggi bertukar kepada lampu rendah sebaik mengesan kenderaan lain dari arah bertentangan.

Ada juga amaran memaklumkan pemandu dengan kehadiran kenderaan lain di zon titik buta.

Sebenarnya, teknik itu sudah wujud iaitu sejak tahun 1930-an. Salah satunya ialah lampu dan menekan butang hon.

Lampu tinggi dinyalakan seketika bagi memaklumkan kereta di belakang mahu memotong.

Andai lampu brek menyala, tandanya kenderaan sedang memperlahankan kelajuan atau mahu berhenti.

Lampu isyarat belok atau signal juga amat penting kerana menunjukkan sesuatu kende­raan mahu menukar laluan perjalanan.

Satu tinjauan oleh Response Insurans pada 2006 mendapati, sebanyak 57 peratus pemandu tidak menggunakan lampu signal ketika bertukar lorong.

Persatuan Jurutera Automotif menerusi satu tinjauan tahun 2012 di Ohio, Amerika Syarikat mendapati, 48 peratus daripada 12,000 pemandu tidak menggunakan lampu signal, manakala 25 peratus lagi gagal berbuat demikian semasa membelok.

Alasan yang diberikan tiada masa, malas, terlupa, tidak peduli kerana kerap menukar laluan dan lampu signal bukannya penting, pemandu lain juga tidak nyalakan lampu signal.

Pakar Psikologi Trafik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, ia berpunca daripada sikap pemandu.

“Ia sudah menjadi budaya sebahagian besar pemandu di Malaysia.

“Apabila menganggap sesuatu sebagai tidak penting, ini membawa kepada sifat lupa untuk menggunakan lampu signal,” katanya.

Beliau berpendapat kadar peratus pengguna jalan raya tidak menggunakan lampu signal mungkin 10 atau 20 peratus lebih tinggi daripada tinjauan di Ohio.

“Jika hendak ubah, perlu ada inisiatif besar-besaran membabitkan sistem peraturan jalan raya,” jelasnya

Beliau memberitahu, kurikulum memandu didapati tidak menekankan aspek mendidik pemandu.

“Skill dan kognitif atau pe­ngetahuan memang kita tahu. Elemen emosi kemanusiaan terhadap pengguna jalan raya lain seharusnya ada,” jelasnya.

Penganalisis permotoran, Gan Yong Li berkongsi beberapa tip penting.

Beliau menyarankan penggunaan lampu signal ketika keluar masuk lot parkir dan bulatan selain menukar lorong di laluan lurus.

“Nyalakan lampu signal pada jarak antara 100 meter (m) hingga 300m sebelum membelok.

“Jika laju, nyalakan lebih awal supaya pengguna lain sedia maklum. Lampu signal perlu menyala sehingga kereta memasuki lorong dituju sepenuhnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI