fbpx

Roziah dilantik Timbalan Naib Canselor UiTM baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roziah dilantik Timbalan Naib Canselor baharu UiTM berkuatkuasa hari ini.

SHAH ALAM – Profesor Dr. Roziah Mohd. Janor dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan pensyarah yang juga pakar bidang matematik dan statistik di Fakulti Sains Komputer dan Matematik itu bagi menggantikan Prof. Ts. Dr. Mohamad Kamal Harun, 60.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Nora Noordin berkata, Roziah yang berusia 57 tahun telah berkhidmat dengan UiTM selama 30 tahun di pelbagai peringkat pengurusan, akademik dan penyelidikan serta kualiti.

“Beliau adalah penggerak penting yang berperanan dalam meningkatkan penarafan UiTM sejak lima tahun berturut-turut ketika menjadi Penolong Naib Canselor (Kualiti) pada tahun 2015.

“Peranan beliau juga turut membantu ranking UiTM yang telah melonjak ke tangga 108 terbaik di Asia daripada tangga 181 pada tahun 2017, iaitu 17 peratus terbaik dalam kalangan 634 institusi pengajian tinggi di Asia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap pelantikan Roziah berjaya meneruskan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di UiTM.

“Ia sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM 2025 untuk menjadi sebuah universiti terkemuka di dunia,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI