fbpx

Amaran Arteta buat benteng Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARSENAL perlu lebih waspada menjelang aksi menentang Wolves yang memiliki jentera serangan ampuh. - AFP

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran buat anak-anak buahnya me­ngenai kualiti yang ada dalam skuad Wolverhampton Wan­derers menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi esok.

Kata Arteta, pasukan Wolves yang dikendalikan oleh Nuno Espirito Santo boleh memberikan ancaman yang besar sekiranya benteng pertahanan tidak berwaspada memandangkan mereka memiliki jentera se­rangan yang berkualiti.

“Saya tidak terkejut dengan prestasi konsisten pasukan Wolves sejak beberapa musim lepas kerana mereka telah dibentuk oleh pengendali yang memiliki falsafah bola sepak moden untuk tempoh yang cukup lama.

“Malah, pemain-pemain mereka juga sangat serasi dan bermain dalam satu kumpulan tidak kira sewaktu menyerang ataupun bertahan. Justeru, saya jangkakan aksi yang sukar tetapi bukanlah misi mustahil untuk pasukan meraih tiga mata penuh,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Arsenal, Dani Ceballos berharap benteng pertahanan waspada dengan larian pantas yang bakal diberikan oleh pemain sayap Wolves yang juga rakan sepasukannya dalam skuad Sepanyol iaitu Adama Traore.

“Traore adalah pemain sayap yang semakin meningkat naik tetapi masih belum cukup konsisten. Bagaimanapun, jika dia berada dalam posisi terbaik, benteng pertahanan kami bakal berdepan detik yang sukar.

“Justeru, saya harap barisan pemain memberi fokus sepenuhnya dan tidak mengambil mudah memandangkan kualiti dan kelebihan fizikal yang ada pada Traore dan rakan sepasukannya di jentera serangan sangat luar biasa,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI