fbpx

K2

MENURUT Abdul Rahim, udang galah sepit biru menjadi tarikan utama pemancing yang datang mencuba nasib di Sungai Kerian.

Sungai Kerian lubuk udang galah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI Kerian yang menjadi garis sempadan tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak mempunyai hasil sungai yang banyak terutama udang galah dan ikan baung.

Kekayaan hasil sungai itu menarik kunjungan kaki pancing dari merata tempat sehingga membuka ruang kepada penduduk tempatan dan nelayan darat mengusahakan industri agro pelancongan di situ.

Seorang penduduk, Abdul Rahim Khairuddin, 32, berkata, dia menawarkan perkhidmatan sewa bot gentian kaca miliknya kepada kaki pancing.

“Biasanya pada setiap minggu ada kira-kira tiga atau empat orang yang akan menyewa bot untuk memancing udang galah.

“Saya sendiri akan bawa kaki pancing ke lokasi yang menjadi lubuk udang galah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, tidak sukar untuk menangkap udang galah, selagi kaki pancing mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentangnya.

 

SALAH seorang kaki pancing tegar menunjukkan udang galah sepit biru yang berjaya dipancingnya.

 

“Waktu sesuai untuk memancing udang galah adalah pada musim panas dan keadaan air sungai yang tidak terlalu keruh serta tidak berwarna hijau.

“Sekiranya air terlalu jernih, ia juga tidak sesuai untuk memancing udang di Sungai Kerian kerana udang akan bersembunyi di kawasan yang agak gelap dan sunyi,” ujarnya.

Menurutnya, dia akan cuba mengenal pasti lubuk udang galah yang sesuai bagi mengelak pemancing pulang hampa.

Sementara itu, katanya, umpan yang digunakan adalah anak udang sungai air payau, anak udang hidup, umpun-umpun dan cacing.

“Bagaimanapun, umpan anak udang lebih banyak digunakan dalam kalangan nelayan di sungai ini.

“Ada kaki pancing yang meminta saya sediakan umpan dan ada juga yang membawanya sendiri,” katanya.

 

HASIL tangkapan udang galah yang kebiasannya tidak mengecewakan.

 

Mengenai teknik pula, kata Abdul Rahim, kebanyakan pemancing menggunakan mata kail bersaiz dua atau tiga inci, bergantung kepada kepakaran mereka.

“Jika pemancing selalu memancing di Sungai Kerian, mereka akan merasai perbezaan teknik yang perlu dilakukan dalam mengumpan udang galah di sini berbanding sungai lain.

“Udang galah di Sungai Kerian apabila arus bergerak atau air pasang, ia akan mula bergerak perlahan sebelum terhenti.

“Sekiranya air terlalu deras, udang kurang makan umpan. Pemancing hanya boleh memancing di bahagian tepi atau lubuk di tepi tebing kerana arus sungai tidak deras,” jelasnya.

Katanya, kepuasan pemancing apabila berjaya menangkap udang galah bersaiz besar yang mempunyai sepit berwarna biru.

“Jika dapat udang galah jenis itu, ia akan membuat pemancing berasa teruja dan ‘ketagih’ lagi untuk memburu udang galah di Sungai Kerian,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia sentiasa menasihati pemancing supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan sepanjang berada di sungai.

“Saya sediakan jaket keselamatan dan menasihati supaya menjaga percakapan semasa berada di sungai.

“Mereka juga saya nasihatkan agar jangan memancing di bawah rimbunan pokok yang dalam bagi memudahkan mereka keluar dari situ jika ternampak sang bedal,” katanya.

Tambahnya, dia setakat ini belum pernah terserempak dengan buaya di sungai itu.

BERITA BERKAITAN