fbpx

Harap tiada di PRK Gerik – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) dan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, menyantuni penduduk Rungkup Kecil, Mat Zan Mat Zain, yang mengidap angin ahmar dalam program ziarah kasih di Bagan Datuk hari ini.

BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) berharap semua pihak memberi peluang kepada parti itu khususnya dari UMNO untuk mengekalkan kerusi Parlimen Gerik tanpa ada pertandingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang dijadualkan pada 12 Januari depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana situasi wabak Covid-19 yang masih merebak di negara ini dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat jika PRK diadakan.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, calon BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas telah bertanding, jadi saya harap atas nama Muafakat Nasional dan dokongan kita kepada kerajaan Perikatan Nasional, insya-Allah kedua-dua parti itu tidak akan menyaingi calon UMNO yang akan mewakili BN.

“Namun, jika ada calon-calon lain seperti bebas dan calon parti lain yang berhasrat untuk bertanding, saya harap dalam keadaan begini dengan SOP yang ketat, maka paling molek kita tak ada calon yg menawarkan diri maka beri peluang terus kepada calon BN memberikan kesinambungan khidmat bakti yang dibuat Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (bekas Ahli Parlimen Gerik),” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kasih di beberapa rumah penduduk di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, dalam situasi ini, semua pihak harus memberikan kemenangan dan laluan kepada calon BN dalam PRK ini.

“Bagaimanapun, jika ada pertandingan, kita mahu UMNO Perak memberi keutamaan kepada calon anak tempatan untuk bertanding di situ,” katanya.

Ditanya kemungkinan PRK Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah tidak diadakan menerusi pengisytiharan darurat sebagaimana Parlimen Batu Sapi, beliau berkata, Batu Sapi dan Bugaya dalam zon merah, tapi Bugaya telah diisytiharkan PRK tetap berlangsung.

“Kita tidak jangka Gerik jadi zon merah, jadi harap pengundi jaga SOP dan kekalkan zon hijau sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak malam tadi yang turut dihadirinya, telah melantik Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman sebagai Timbalan Pengerusi badan perhubungan itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Hasbullah.

Katanya, jawatan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak yang dikosongkan Azian diisi oleh Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim, dilantik Pemangku Ketua UMNO bahagian itu.

Mengenai DUN Bugaya, Ahmad Zahid berkata beliau akan berjumpa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin Isnin ini untuk membincangkan perkara tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI