fbpx

Usaha pembukaan semula sempadan tertangguh kes Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasni melancarkan Buku Karya Johor sempena Mesyuarat Agung Persatuan Penulisan Johor ( PPJ ) di Rumah Citra Sri Pinang, di Benut, di Pontian, di sini, hari ini.-Foto MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN – Peningkatan kes positif Covid-19 melalui gelombang keempat di negara ini dan Johor khususnya menyebabkan usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura tertangguh.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, peningkatan itu telah menyebabkan beberapa daerah dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) perlu menjalani kuarantin.

“Kita memang mahu membuka sempadan secepat mungkin kerana ekonomi Johor bergantung kepada jiran menerusi peluang pekerjaan dan ekonomi rentas sempadan, itu kelebihan Johor.

“Maka apabila meningkatnya kes-kes Covid-19, tertangguhlah usaha kita untuk membuka sempadan tersebut,” katanya ketika berucap pada pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Kali ke-43 di Rumah Citra Sri Pinang, Benut di sini hari ini.

Hasni bagaimanapun turut memberitahu, pihaknya berterima kasih dengan keputusan kerajaan pusat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara bersasar di negeri ini.

Sehingga semalam, sebanyak 1,209 kes Covid-19 dilaporkan di negeri ini serta 12 kluster aktif yang mana terbaharu iaitu Kluster Gemilang melibatkan sebuah syarikat logistik di Johor Bahru.

Sempadan Malaysia-Singapura mula ditutup sejak 18 Mac lalu apabila Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan program bakul makanan bagi rakyat Malaysia di Singapura akan dimulakan dalam waktu terdekat dengan menyasarkan mereka yang benar-benar terkesan.

“Pada peringkat awal, kita akan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada individu yang ‘berehat sebentar’ di jalanan sebelum kembali bekerja keesokan harinya.

“Inisiatif ini selain bagi meringankan beban mereka, ia juga merupakan satu bentuk penghargaan atas kegigihan mereka terus bekerja bagi menyara kehidupan keluarga,” ujarnya.

Semalam, Hasni ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 memaklumkan penyediaan program bakul makanan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Malaysia di Singapura dan Pejabat Kedutaan Malaysia di negara itu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI