SABAK BERNAM – Misteri ketukan tanpa salam sejak minggu lalu berakhir apabila penduduk di Kampung Baharu di sini mendakwa tidak lagi diganggu kelmarin.
Ia memberikan khabar gembira buat penduduk kampung itu yang sebelum ini berasa rimas dengan gangguan tersebut termasuk yang mengaitkannya dengan perkara mistik.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baharu, Mohd. Suhairi Machri, 42, berkata, malam kelmarin merupakan hari yang tenang bagi penduduk kampung berkenaan yang sebelum ini diselubungi ketakutan.
Menurut Mohd. Suhairi, sepanjang tempoh gangguan itu, penduduk kampung telah melakukan rondaan pada setiap malam bagi mencari punca ketukan tanpa salam tersebut.
“Malam tadi (kelmarin), tiada lagi aduan mengenai gangguan ketukan pintu ini. Penduduk juga sudah kelihatan tenang.

“Saya berharap keadaan (tenang) ini berterusan selepas seminggu nama kampung ini dan Sabak Bernam tular dalam media sosial disebabkan gangguan misteri tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Suhairi memberitahu, hebahan mengenai video kelibat pontianak itu bukan untuk menakutkan penduduk, sebaliknya adalah inisiatif dirinya sendiri bagi merungkai misteri ketukan tanpa salam tersebut.
Jelas lelaki itu, kemunculan entiti tersebut berlaku secara spontan melalui rakaman siaran langsung dalam laman Facebook.
Bacaan Yasin juga akan diadakan dalam masa terdekat di masjid dan rumah-rumah penduduk kampung bagi memohon pertolongan Allah, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengambil keterangan penduduk kampung bagi menentukan mengenai kesahihan kejadian tersebut.
Siasatan turut dilakukan terhadap laporan akhbar sebelum ini termasuk rakaman televisyen litar tertutup ( CCTV) yang gagal mengesan mana-mana individu selepas berlakunya kejadian ketukan tanpa salam tersebut,” katanya.
Artikel berkaitan : Penduduk dakwa nampak pontianak
















