fbpx

Tayar Proxes CR1 miliki teknologi baharu Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jenama tayar dari Jepun, Toyo Tire memperkenalkan produk terbaharu mereka di pasaran tempatan, iaitu Proxes CR1 dan Proxes CR1 SUV yang direka khusus untuk segmen kereta penumpang dan kenderaan utiliti sukan di negara ini.

Proxes CR1 menggantikan model terdahulu, iaitu Nano ­Energy 3 dan menampilkan empat manfaat penting senyap, selamat, selesa dan gred tinggi kepada pemandu.

Produk tersebut dibangunkan menerusi rekaan corak bu­nga tayar yang membantu prestasi di jalan basah, penggunaan bahan penyerap bunyi, kadar rintangan golekan rendah untuk penggunaan bahan api lebih baik serta aplikasi teknologi milik Toyo iaitu T-Mode dan Nano Balance.

Pelumba drift profesional, Tengku Djan Ley berkongsi pengalaman menguji tayar ProxesCR1 ini pada sesi pelancaran yang dilakukan secara maya minggu lalu.

Presiden/Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Tan Song Chye berkata, dari segi ­prestasi secara keseluruhan, Proxes CR1 mampu mengurangkan kadar bunyi sehingga 11 peratus dan kesan aqua planning sebanyak dua peratus berbanding model sebelum ini.

Jelas beliau, Proxes CR1 ideal untuk model kenderaan jenama Jepun dan Barat, khususnya kereta dan SUV daripada segmen A sehingga segmen D.

“Hasil penggunaan teknologi termaju Jepun, Proxes CR1 dapat memenuhi keperluan pemandu terutama bagi mereka yang mementingkan tayar yang menawarkan prestasi unggul dan beraksi secara konsisten pada kelajuan tinggi, baik di jalan basah atau kering.

“Ia turut menawarkan ciri ke­selamatan, penggunaan bahan api lebih efisien dan pengurangan bunyi bising yang menyumbang kepada keseronokan peman­duan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tayar Proxes CR1 untuk kereta penumpang boleh didapati dalam 36 saiz bermula daripada rim berdiameter 14 inci hingga 18 inci, manakala tayar Proxes CR1 SUV terdapat dalam sembilan saiz untuk rim berdiameter 17 hingga 19 inci.

Harga jualan untuk tayar kereta Proxes CR1 bermula dari RM160 hingga RM440, manakala tayar SUV Proxes CR1 pula bermula dari RM380 hingga RM580 bergantung kepada saiz tayar.

Kedua-dua model ini boleh didapati di Pusat Tayar Toyo dan Pusat Tayar Silverstone di seluruh negara.

BERITA BERKAITAN