fbpx

KKM keluarkan senarai harga kit ujian Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini telah mengeluarkan kadar bayaran bagi ujian pengesanan Covid-19 di fasiliti kesihatan kerajaan.

KKM dalam satu kenyataan berkata, bayaran tersebut adalah tertakluk dalam [Peraturan 3 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi bagi Ujian Pengesanan Covid-19) 2020].

Menurut KKM, ujian pengesanan Covid-19 bagi tindak balas berantai polimerase (Rt-PCR) akan dikenakan bayaran RM150 untuk warganegara dan RM250 bukan warganegara.

“Bagi kit ujian pantas (RTK) Antigen, warganegara dikenakan bayaran RM60, manakala bukan warganegara RM120.

“Sementara itu, bayaran untuk kit ujian pantas (RTK) Antibodi adalah RM30 bagi warganegara, manakala bukan warganegara RM60,”katanya di laman Facebook hari ini.

Bagaimanpun kata KKM, bayaran ujian pengesanan Covid-19 di fasiliti kerajaan tidak akan dikenakan kepada penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di dalam dan luar negara.

Selain itu, warganegara dan bukan warganegara yang disyaki positif Covid-19 juga tidak dikenakan bayaran.

“Turut tidak dikenakan bayaran adalah warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dan penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Individu di bawah survelan bagi penyakit seperti influenza like illness (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk/Severe Acute Respiratory Illness (SARI) juga turut tidak dikenakan bayaran termasuklah pengembara dari luar negara yang mendapat pengecualian bayaran ujian pengesanan Covid-19,” ujar KKM.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI