fbpx

Peminat mesej ajak Ashira nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASHIRA

PENYANYI dan peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) Ashira Aziz menafikan sengaja menjaja kisah sedih yang dialaminya demi ‘memancing’ markah panel dalam program tersebut seperti yang didakwa netizen.

Jelas Ashira atau nama sebenar­nya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, jika betul dia berniat berbuat demikian, sudah pasti kedudukannya dalam GV7 sentiasa berada di tangga atas.

“Kalau betul saya nak raih simpati juri, setiap minggu kedudukan saya mesti berada dalam tiga teratas tetapi itu tidak berlaku. Graf saya dalam GV7 ada turun dan naik. Cuma pernah sekali sahaja saya merasa berada di tangga kedua.

“Saya tak baca pun yang kecam-kecam netizen sebab ayah saya sudah pesan jangan baca. Saya langsung tidak berniat mahu meraih simpati. Benda ini memang betul-betul terjadi kepada saya.

Kalau tak suka, tak payah tengok.

“Bukan saya seorang yang terkesan sebab wabak Covid-19 hilang kerja, tetapi orang lain pun sama. Cuma mungkin sebab saya penyanyi kelab malam dan bukan kerja yang bagus pada mata netizen, jadi mereka mula beri kecaman,” tegasnya.

ASHIRA Aziz menafikan sengaja menjaja kisah sedih yang dialaminya demi ‘memancing’ markah panel dalam program GV7.– AMIR KHALID

Bercakap benar

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Di Ombak Resah itu lagi, dia sebenarnya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah peribadi, namun perlu berkata jujur sekiranya disoal dan diminta untuk bercerita tentang perkembangan diri.

“Kalau boleh, sebenarnya saya tak nak orang tahu langsung tentang kehidupan peribadi. Tetapi bila orang sudah tanya, takkan saya nak menipu. Saya mesti cakap hal sebenar dan kongsi apa yang dilalui.

“Soal dikutuk dan dikecam, tak mengapa sebab saya tak ambil pusing sangat. Saya faham mereka (netizen) ada hak untuk bersuara,” tuturnya penyanyi berusia 35 tahun itu lebih lanjut.

Sebelum ini, Ashira pernah berkongsi kisah sedih apabila hilang punca rezeki gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan. Lebih perit lagi, dia terpaksa keluar dari rumah sewa kerana gagal melangsaikan tunggakan bayaran sewa selama enam bulan.

Selain itu, kisah Ashira yang pertama kali berjauhan dengan anak tunggalnya, Megat Shazril Haziq Hadi, 14, kerana komitmen terhadap GV7 turut menjadi perdebatan warga siber.

BIARPUN sudah lima tahun hidup sebagai ibu tunggal, Ashira sebenarnya belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki sebagai suami.

Diajak kahwin

Bercakap tentang kemunculan semulanya dalam persada seni, Asyira mengakui kembali mengumpul semangat dengan sokongan peminat lama dan generasi baharu.

Saat nama kembali diperkatakan, wanita yang sudah lima tahun menggalaskan status ibu tunggal itu mengakui pernah menerima mesej langsung (DM) daripada individu tidak dikenali dan mengajaknya berkahwin.

Menyifatkan semua itu hanya kerenah lucu yang harus ditempuhi, dia bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak membalas mesej tersebut.

“Saya banyak dapat mesej menerusi Instagram dan Facebook dan si pengirim mengaku duda. Ada yang tinggalkan nombor telefon, ada juga yang mengajak saya berjumpa.

“Bila saya tengok akaun media sosial mereka, kebanyakannya sudah tua. Saya bukan memilih tetapi sudah macam pangkat ayah dan anak pula.

“Mungkin saya sudah terlalu lama hidup sendiri jadi tidak terfikir mahu cari calon suami. Hati saya belum terbuka ke arah itu (kahwin),” jelasnya.

Katanya, selagi ada peminat menyokong kerjaya nyanyiannya, selagi itulah bidang nyanyian menjadi sumber rezekinya.

“Insya-Allah, selepas berakhirnya GV7 nanti, saya akan keluarkan single baharu. Sekurang-kurangnya dapatlah mengubati kerinduan peminat yang menyokong saya sejak dahulu.

“Malah, sebelum menyertai GV7, saya memang tak ada niat nak kembali menyanyi secara komersial. Tetapi apabila masuk program itu dan ada peminat baharu pun mula beri sokongan, saya jadi kembali bersemangat,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI