fbpx

Ezra pernah dibuli sebab warna kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZRA KAIRO

NAMA Ezra Kairo mungkin masih terlalu asing dalam arena seni. Malah pemilik nama penuh Daniel Ezra Mohd. Shafiq Nickleson itu selesa berada bawah radar arus perdana.

Dalam erti kata lain, jejaka berketurunan India-Muslim itu selesa menggelarkan dirinya sebagai penyanyi ‘underground’.

Penuntut diploma tahun akhir jurusan perniagaan di sebuah kolej tempatan itu mula aktif memuat naik lagu nukilan sendiri dalam platform digital termasuk YouTube sejak tahun lalu.

Malah jika mahu disingkap plot kehidupannya, tidak ubah seperti penyanyi dan komposer muda Yonnyboii yang dibuli ketika di bangku sekolah hanya kerana dianggap ‘pelik’ pada mata orang lain.

“Fasa genting dalam hidup saya berlaku ketika sekolah menengah iaitu tingkatan 1. Dilahirkan dalam keluarga India Muslim, saya sering diejek dan dibuli. Malah pelbagai gelaran yang diberikan kepada saya cukup menyesakkan hati.

“Warna kulit saya juga menjadi modal usikan dan ejekan. Saya berdepan trauma yang memeritkan. Umpama diri ini tiada hati dan perasaan diperlakukan sebegitu rupa,” ceritanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu bagaimanapun enggan terus hanyut dalam kesedihan dan trauma, lalu dia menjadikan muzik sebagai ruang berkongsi curahan isi hati.

MENCUBA nasib untuk dikenali peminat dunia muzik tanah air, Ezra kini tampil dengan single bahasa Melayu berjudul Kau Tiada baru-baru ini.

Escapisme

“Muzik umpama escapisme atau cara saya bangkit melupakan apa saja yang melemahkan. Saya alihkan semua rasa yang tidak enak dengan muzik dan menulis lirik.

“Saya juga mula menyertai pertandingan nyanyian di sekolah. Secara rasmi saya berjinak-jinak secara serius dalam nyanyian pada tahun lalu,” ujarnya lagi yang pernah memiliki album EP dengan lima buah lagu berbahasa Inggeris.

Kongsi Ezra, ilham menulis lagu mula tercetus selepas kekecewaan putus cinta. Segala isi hati yang tersakiti dicurahkan menerusi penulisan lagu.

“Salah satu lagu yang dimuatkan dalam album EP itu berjudul Leave Me. Sampai ada kawan gelarkan saya Adele versi lelaki kerana kami menyanyikan lagu patah hati.

“Nama saya sedikit meledak Mac lalu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa ketika mempromosikan lagu Come Thru. Tanpa diduga dengan bantuan dan akses aplikasi TikTok, lagu itu didengari sehingga ke beberapa negara seperti Afrika Selatan, India, Brunei, Rusia, Singapura dan Indonesia.

“Lagu itu berkisar tentang kehidupan yang perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi termasuk gagal dalam bercinta. Ramai yang boleh rasa dekat dengan lagu itu. Impian saya untuk menghubungkan muzik dengan kehidupan manusia dianggap berjaya di situ,” tuturnya.

Selepas muncul dengan beberapa buah single dan EP berbahasa Inggeris, Ezra kini optimis untuk tampil dengan single bahasa Melayu berjudul Kau Tiada.

Lirik lagu itu sebenarnya dihasilkan dalam bahasa Inggeris, namun ditukar ke bahasa Melayu hasil bantuan rakan penyanyi Amir Hassan.

“Lagu ini mengenai rasa kehilangan apabila orang yang kita sayangi sudah tiada. Saya sendiri kehilangan bapa pada usia tiga tahun. Bukan sesuatu yang mudah melawan fasa sebegitu, namun hidup harus diteruskan.

“Saya sempat mempromosikan sedikit lagu itu dalam Instagram, Twitter dan Facebook. Maklum balas yang diperoleh cukup positif. Jika tiada aral saya akan lancarkan lagu itu 25 November ini,” katanya.

Peminat tegar penyanyi popular seperti Ed Sheeran, Chris Brown dan Faizal Tahir itu bagaimanapun belum terfikir untuk melahirkan album penuh, sekali gus membawa dirinya ke depan dalam arus perdana.

“Album penuh belum lagi rasanya. Saya masih anggap diri ini mentah dan hijau. Namun saya serahkan semua itu berbalik kepada soal masa dan ruang.

“Cukup saat ini, saya kongsi bakat yang ada kepada mereka yang meminati perjuangan muzik ini,” katanya yang memiliki hampir 20,000 pengikut dalam Instagram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI