fbpx

Arca buluh indahkan Dataran Bandaraya Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraina (barisan hadapan, tengah) bergambar bersama kakitangan MBI selepas merasmikan arca buluh di Dataran Bandaraya Ipoh hari ini.

IPOH – Tiga arca buluh menjadi hiasan baharu di pekarangan Dataran Bandaraya bagi memperindahkan lagi kawasan tumpuan awam itu menerusi hasil kreativiti kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Berkonsepkan kelopak bunga yang sedang mekar, arca ini juga bertujuan menunjukkan penggunaan buluh dalam pembinaan struktur landskap yang bersifat mesra alam.

Pengunjung ke Dataran Bandaraya boleh melihat arca yang didirikan ini berhampiran menara jam di dataran berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, arca tersebut dihasilkan dengan kepakaran dalaman MBI melibatkan para petugas di Jabatan Landskap dan Taman serta Jabatan Kawalan Pembangunan.

Menurut beliau, kesemua kakitangan ini telah mengikuti kursus pembinaan teknologi buluh dari sebuah pusat kemahiran swasta iaitu Bamboo Jungle Adventure di Sungai Siput dan pernah menyiapkan beberapa kerja tangan sebelum ini.

“Kerja pembinaan tersebut telah bermula sejak Mac tetapi terhenti seketika apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Penggunaan buluh yang merupakan satu bahan binaan mampan dan mesra alam ini telah menjalani proses rawatan sebelum ia digunakan untuk kerja-kerja pembinaan arca tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Rumaizi lagi, MBI akan melaksanakan lebih banyak pembinaan struktur sedemikian selaraskan dengan usaha menjadikan Ipoh Bandaraya Rendah Karbon menjelang tahun 2030. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI