fbpx

21 pembekal dadah kepada pelajar diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri memberkas 21 individu selepas disyaki membekal dadah kepada pelajar sekolah di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tokan dadah ini dikesan menerusi hasil temu bual terhadap 124 daripada 177 pelajar yang positif dadah semasa saringan air kencing dijalankan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri baru-baru ini.

Beliau berkata, hasil temu bual tersebut, polis telah berjaya menahan seramai 21 suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun disyaki tokan dadah dalam operasi khas JSJN yang telah dilancarkan di seluruh negeri bermula 29 September hingga 8 Oktober lalu.

Katanya, daripada 21 suspek yang ditahan itu, tiga ditahan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, enam di bawah Seksyen 39A (1), 10 di bawah Seksyen 15(1)(A) dan dua dibawah Seksyen 39C akta sama.

“Kita kesan 40 suspek dipercayai terlibat sebagai tokan dadah kepada pelajar sekolah di seluruh negeri Johor, 21 sudah kita tangkap dan baki 19 orang lagi masih dikesan.

“Bagi mengesan 19 baki suspek pembekal dadah berkenaan, kita memerlukan siasatan lanjut bagi memberkas mereka memandangkan maklumat yang diberi terlalu umum dan tidak tepat.

“Dadah yang popular digunakan dalam kalangan pelajar sekolah adalah jenis ganja kerana ia lebih murah sekitar RM40 sepeket berbanding dadah lain. Lagipun ganja ini senang dibawa dan mudah digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor (JPJKK) antara Senior Asisten Komisioner Razimi Ahmad dengan Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, pasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis daerah Kulai menahan lima lelaki berumur 17 hingga 19 tahun dalam keadaan mencurigakan di sekitar Taman Permainan Bandar Putra Kulai, pada pukul 12.43 pagi, semalam.

Katanya, pemeriksaan ke atas lima individu termasuk tiga pelajar sekolah itu berjaya menemui dadah jenis ganja seberat 3.29 gram bernilai RM164.

“Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Tetrahudrocannabinol (THC). Semakan rekod ke atas semua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil soal siasat terhadap tiga pelajar ini, kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan pembekal dadah kepada pelajar terbabit”, katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI