fbpx

Panjat pokok 8 meter demi internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Saiful Izwan dan rakannya, Muhamad Fairul Ezuan (bawah) cuba memasang router Wi-Fi di atas pokok rambutan untuk mendapatkan capaian internet lebih baik di hadapan rumah mereka di Kampung Tembak B, Kuala Ketil, semalam.

BALING – Dua sahabat yang merupakan pelajar universiti terpaksa memanjat pokok rambutan setinggi kira-kira lapan meter bagi mendapatkan capaian internet untuk menghadiri kelas secara online di Kampung Tembak B di Kuala Ketil di sini.

Mereka ialah Mohammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi dan Muhamad Fairul Ezuan Saidi masing-masing merupakan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani dekat sini.

Kedua-dua mereka berusia 21 tahun.

Dua pelajar itu memanjat pokok tersebut untuk memasang router Wi-Fi bagi mendapatkan capaian internet lebih baik.

Menurut Mohammad Saiful Izwan, penduduk kampung di situ berdepan dengan masalah capaian internet yang lemah sejak sekian lama.

“Keadaan ini menyukarkan saya untuk menghadiri pengajian secara online setelah pulang ke kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Capaian internet agak baik pada sebelah pagi, tetapi ia akan menjadi perlahan selepas pukul 3 petang sehingga lewat malam,” katanya yang belajar dalam jurusan Pengajian Islam.

Bercerita lanjut, Mohammad Saiful Izwan bekrata, dia pernah memasang router Wi-Fi di atas bukit di belakang rumahnya untuk memuat naik dan menghantar kertas kerja dalam bentuk video serta dokumen tetapi ia tidak berjaya.

“Saya juga cuba memasang router Wi-Fi di kandang kambing, juga di belakang rumah dan masih gagal mendapatkan capaian internet yang baik.

“Jalan terakhir adalah mele­takkan router Wi-Fi di atas pokok rambutan sejak Mei lalu hingga kini yang mana capaian internet agak memuaskan,” jelasnya.

Rakannya, Muhamad Fairul Ezuan pula berkata, dia sebelum ini berusaha mencari capaian internet yang kuat di halaman rumah, berdekatan jalan raya dan di atas bukit untuk menghantar video tugasan, kertas kerja serta menjawab peperiksaan online, namun gagal.

“Akhirnya, saya juga terpaksa meletakkan router di atas pokok rambutan bagi mendapatkan capaian internet lebih baik,” katanya yang merupakan pelajar jurusan Pentadbiran Pejabat dan Teknologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI