fbpx
GUA Musang berkembang menjadi sebuah bandar transit apabila turut menjadi persinggahan dan laluan pengguna jalan raya.

K2

Gua Musang bukan lagi pekan koboi, tempat ‘jin bertendang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

SUATU ketika dahulu Gua Musang ditakuti masyarakat luar kerana pernah mendapat jolokan ‘tempat jin bertendang’.

Bagaimanapun, situasi tersebut sudah berbeza. Jajahan terbesar yang keluasannya meliputi separuh daripada negeri Kelantan itu kini berubah apabila semakin maju sehingga bandar di jajahan tersebut berkembang menjadi bandar transit.

Kedudukannya yang terletak di bahagian selatan negeri itu dihubungkan dengan jalan raya Persekutuan dan laluan landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Gua Musang kini menjadi bandar transit ekoran kedudukan strategiknya menjadi laluan yang menghubungkan beberapa buah negeri lain di Semenanjung seperti Pahang, Terengganu, Perak bahkan ibu kota Kuala Lumpur.

Pada tahun 2010 populasi penduduk Gua Musang hanya berjumlah 90,057 orang dan meningkat setiap tahun. Sehingga kini ia mempunyai lebih 100,000 penduduk berbilang kaum.

Jajahan Gua Musang merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Galas, Nenggiri dan Paloh.

Pada tahun 2020, nilai hartanah di Gua Musang menunjukkan peningkatan, namun masih berada di tahap mampu milik berbanding di kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar lain di negeri ini.

 

SELAIN jalan raya, Gua Musang juga dihubungkan dengan laluan kereta ap

 

Bagi seorang penduduk, Sharuddin Ibrahim, 58, pemilikan rumah di Gua Musang oleh orang dari luar jajahan ini dilihat mendapat permintaan tinggi.

Katanya, zaman dahulu tidak ramai orang mahu menghuni kawasan ini kerana menganggapnya sebagai ‘pekan koboi’ berikutan kedudukan terpencil.

“Dulu orang cakap Gua Musang ini tempat jin bertendang tetapi sekarang tidak lagi apabila semakin ramai orang seronok tinggal di sini termasuklah orang yang berulang-alik kerja di Kuala Lumpur.

“Saya juga berasal dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, namun lebih berminat mencari rezeki di Gua Musang dan telah menetap di sini sejak 30 tahun lalu,” kata penjawat awam di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu kepada K2.

Sharuddin berkata, Gua Musang sudah berkembang menjadi bandar transit apabila menjadi persinggahan atau laluan pengguna jalan raya dan kereta api. Gua Musang misalnya menjadi lokasi persinggahan mereka yang hendak ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur.

Katanya, Gua Musang terus membangun dengan pertumbuhan banyak bandar baharu yang dimajukan bukan sahaja oleh Kerajaan Pusat dan Negeri tetapi juga pihak-pihak swasta.

Sementara itu, gua batu kapur di Gua Musang yang terletak di hadapan stesen kereta api akan dimajukan sebagai pusat pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pelbagai kemudahan akan diwujudkan di situ supaya menjadi tarikan pelancong.

Katanya, gua berkenaan sesuai dijadikan destinasi pelancongan kerana menjadi lambang kepada pembangunan bandar ini yang terkenal dengan keindahan gua batu kapur.

“Perkara itu juga sudah dibincangkan dan kerajaan negeri ini sudah bersetuju berbuat demikian, tinggal lagi menyiapkan kertas kerja kemudahan bakal disediakan.

“Jika menjadi kenyataan nanti, gua batu kapur itu akan terus menarik tumpuan dan sekali gus membawa perubahan kepada Bandar Lama Gua Musang,” katanya.

Menurut buku terbitan 1993, Salasilah Nama Tempat: Negeri Kelantan Darul Naim, Gua Musang pada zaman dahulu dihuni masyarakat Orang Asli yang bergantung hidup dengan memburu hasil hutan.

 

GUA musang kini semakin pesat membangun selari dengan perkembangan semasa.

 

Di situ terdapat sebuah gua batu kapur berketinggian 105 meter. Pada suatu hari, sekumpulan Orang Asli keluar berburu, namun tidak mendapat hasil tangkapan. Lalu, mereka menanti seketika sehinggalah ternampak seekor ayam hutan yang berlari pantas akibat dikejar oleh musang.

Setelah mengekorinya, mereka mendapati ayam tersebut hilang di dalam hutan tebal itu. Tidak lama selepas itu, mereka sekali lagi terserempak seekor musang mengejar ayam hutan tidak jauh dari tempat kejadian dan ayam itu juga hilang.

Bagi mereka, kejadian itu sangat pelik kerana tidak pernah berlaku sebelum ini apabila mereka gagal menyumpit ayam dan pulang dengan tangan kosong.

Keesokannya mereka keluar berburu lagi dan kejadian sama juga berlaku di mana mereka ternampak musang sedang mengejar ayam hutan.

Keesokan harinya mereka keluar untuk mengesan tempat hilangnya ayam-ayam hutan yang dikejar oleh musang sejak beberapa hari lalu. Mereka telah menjumpai satu lubang gua yang menyerupai seekor musang sedang mengejar seekor ayam.

Setelah melihatnya mereka berasa takut dan terus meninggalkan tempat itu. Mereka menamakan tempat itu sebagai Gua Musang.

Mohd. Syahbuddin berkata, keistimewaan gua itu bukan sahaja mencatat sejarah asal nama Gua Musang, tetapi gua itu juga boleh didaki sehingga ke puncak.

Katanya, stesen kereta api lama yang terletak berhampiran gua itu juga akan dibaik pulih.

 

MASJID Razaleigh di Bandar Lama Gua Musang ini mengagumkan kerana mempunyai seni bina seperti Masjidil Haram di Mekah.

 

“Keunikan Gua Musang jarang dijumpai di gua lain di negara ini kerana pernah ketika dulu menjadi tempat tinggal Orang Asli sebelum Gua Musang dibangunkan. Mereka yang mendaki ke puncak gua dengan ketinggian lebih 100 meter itu juga dapat melihat keindahan alam semula jadi bandar ini,” katanya.

Tambahnya, Gua Musang bakal diperkasa menjadi bandar pelancongan apabila masjid ikonik mirip Masjidil Haram di Mekah, Masjid Razaleigh di Bandar Lama Gua Musang dibuka kepada orang awam tidak lama lagi.

Katanya, ketika ini masjid itu sudah 99 peratus siap dan akan dibuka selepas ancaman pandemik Covid-19 berakhir.

“Kelantan ialah Negeri Serambi Mekah manakala Galas pula adalah serambi Kelantan apabila wujudnya masjid ikonik ini,” katanya.

Di Gua Musang juga terdapat gua batu kapur lain yang kini dijadikan tarikan pelancongan. Keindahan Gua Chiku 2 di Felda Chiku 2 berusia ratusan tahun itu menyimpan pelbagai keunikan dengan struktur batu mempesona. Gua itu wujud sebelum pembukaan Tanah Rancangan Felda Chiku 2 lagi.

Seorang anak peneroka, Mohd. Nasir Muhamed, 41, berharap Gua Chiku 2 akan membantu melonjakkan ekonomi kepada para peneroka.

“Saya yakin Gua Chiku 2 mempunyai potensi untuk menjadi daya tarikan di mata pelancong luar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN