fbpx

Ganjaran RM5,000 dedah dalang pencemaran sungai di Taman Velox, Rawang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat dan bukti sehingga tertangkapnya pihak yang melakukan pencemaran Taman Velox, Rawang, Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ganjaran yang diberikan itu adalah selaras dengan komitmen berterusan kerajaan yang menyediakan peruntukan khas kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat mengenai salah laku termasuk pencemaran sungai dan pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dalang di sebalik pencemaran boleh menghubungi [email protected] atau talian hotline Jabatan Alam Sekitar (JAS) di 1-800- 88-2727.

“Saya memandang serius mengenai isu pencemaran ini yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

“Tahun ini sahaja, tujuh insiden henti tugas loji rawatan air di Selangor akibat pencemaran sungai dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, beberapa pasukan penguat kuasa daripada JAS, Indah Water Konsortium (IWK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor sudah digerakkan bagi menyiasat isu pencemaran itu.

Tuan Ibrahim berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Menurutnya, sehingga pukul 9 malam ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau Panjang berada pada tahap 2 TON dan LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap 2 TON.

“Saya juga sudah mengarahkan Ketua Setiausaha, Kementerian Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang untuk segera ke beberapa lokasi tapak yang disyaki punca pencemaran iaitu di sekitar Taman Velox, Rawang,” katanya.

Katanya, lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, didapati pencemaran berpunca daripada efluen industri daripada pelbagai sumber industri kecil dan sederhana di Taman Velox, Rawang dan kawasan persekitarannya iaitu Kawasan Industri Kecil Sungai Bakau dan Taman Perindustrian Teknologi Rawang.

“Sebahagian daripada efluen Industri yang berbau ini telah masuk ke dalam longkang dan sebahagian lagi telah dilepaskan secara haram ke dalam sistem pembetungan.

“Efluen industri ini seterusnya telah mengganggu tugas loji rawatan kumbahan yang dioperasi oleh IWK di Taman Velox,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya akan memanfaatkan peruntukan sebanyak RM40 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2021 baru-baru ini bagi mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan pemantauan kualiti alam sekitar.

“Peruntukan sama akan digunakan bagi mewujudkan 30 stesen pemantauan di seluruh negara sekali gus dapat mempertingkatkan operasi semua agensi di bawah KASA,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI