fbpx

Belanjawan RM15 juta e-Sukan perlu holistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOMUNITI e-Sukan di negara ini berharap peruntukan itu dapat dimanfaatkan melangkaui sekadar penganjuran kejohanan. – Gambar hiasan

Oleh ASLIZA MUSA

PERUNTUKAN RM15 juta untuk pembangunan e-Sukan menerusi Belanjawan 2021 menunjukkan kerajaan memandang serius perkembangan sukan elektronik di negara ini yang mana penekanan khusus perlu diberi kepada sukan tersebut.

Naib Presiden 1 Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, komuniti e-Sukan di negara ini berharap peruntukan itu dapat dimanfaatkan melangkaui daripada sekadar penganjuran kejohanan sahaja.

“Kementerian perlu mempunyai pemahaman mendalam mengenai e-Sukan di negara ini supaya ia boleh merancang pembangunannya dengan lebih strategik dan berkesan serta menyeluruh bukan hanya terkait dengan penganjuran pertandi­ngan sahaja.

“Kita perlu tahu apa yang berlaku di lapangan dan peruntukan itu seharusnya tidak terhad kepada kejohanan kerana ekosistem e-Sukan merangkumi pelbagai cabang.

“Ia seperti kejurulatihan, penciptaan kandungan, kursus berkaitan dan lain-lain bidang yang juga membantu ekonomi golongan pemain e-Sukan masa kini,” katanya di Ipoh semalam.

Muhammad Naim berkata, meskipun negara berdepan pandemik Covid-19, e-Sukan dilihat tidak terjejas dan terbukti sebagai platform berkesan membantu masyarakat mematuhi perintah kerajaan dengan kejohanan dianjurkan secara online.

“Ketika sukan kovensional lain terjejas kerana wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan keba­nyakan negara, e-Sukan masih kekal berlangsung dan lebih aktif menghiburkan peminat sukan.

“Saya yakin Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempunyai pelan strategik yang berkesan untuk jangka masa panjang bagi memastikan sukan ini berkembang di negara ini,” katanya.

Tambahnya, Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai antara negara yang mampu menarik dan membuka peluang mengembangkan industri e-Sukan apabila berjaya menganjurkan pertan­dingan bertaraf antarabangsa.

“Malah buat julung-julung kalinya, industri ini juga telah menjadi satu acara dipertandingkan untuk pingat pada Sukan SEA 2019 lalu dan Sukan Asia 2022,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI