fbpx

Nestle catat perolehan RM1.4 bilion suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle Malaysia) mencatatkan perolehan berjumlah RM1.4 bilion pada suku ketiga 2020, hampir menyamai paras tahun lalu.

Perniagaan makanan dan minuman (F&B) teras menjadi penyumbang utama dengan pertumbuhan 2.2 peratus, dipacu oleh penggunaan di rumah yang kukuh dan pemulihan eksport.

Prestasi saluran luar rumah pula masih berada di bawah paras tahun lepas, tetapi dengan momentum yang kian meningkat berikutan pelonggaran sekatan operasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak pertengahan bulan Jun.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, walaupun cabaran dari luar dijangka berterusan dalam jangka pendek, pihaknya yakin prospek jangka panjang tetap positif.

“Kami komited untuk menjana nilai bagi pemegang saham dan keputusan mengisytiharkan dividen interim kedua 70 sen sesaham mencerminkan keyakinan kami untuk mencapai keputusan kukuh bagi tahun penuh,” kata­nya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Aranols menjelaskan, rangkaian produk inovatif yang sedang dalam perancangan bagi setiap kategori akan membantu menyokong prestasi syarikat pada suku keempat.

“Kami akan terus memberi tumpuan terhadap usaha memacu kecemerlangan operasi dan pelaksanaan komersial untuk menggiatkan pertumbuhan,” jelasnya.

Untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2020, perolehan Nestle Malaysia mencecah RM4.04 bilion, sedikit rendah berbanding RM4.19 bilion pada 2019.

Tambah beliau, saluran luar rumah yang terjejas semasa Pe­rintah Kawalan Pergerakan juga memberi kesan kepada perniagaan Nestle Professional.

Ia bagaimanapun ditampung oleh perniagaan F&B teras yang mencatatkan peningkatan jualan 1.1 peratus bagi tempoh sembilan bulan, disokong oleh pelaksa­naan jualan mantap dan kejayaan kempen pemasaran, seperti Pe­raduan Nestlé Gaji Seumur Hidup, peraduan Milo 70 Tahun Kebaikan Dalam 70 Hari dan kempen Maggi Sah Malaysia.

Kumpulan turut mencatat margin keuntungan kukuh bagi sembilan bulan pertama, dengan untung selepas cukai RM420.2 juta.

Ini berbanding untung selepas cukai RM541.1 juta tahun lalu di­sebabkan kesan Covid-19 ke atas saluran luar rumah terutamanya pada suku kedua, selain akibat perbelanjaan RM50 juta bagi melindungi keselamatan kerja dan kesinambungan perniagaan.

Ia juga mengambil kira serta keuntungan sekali berjumlah RM19.8 juta yang telah dicatatkan pada 2019 bagi penjualan kilang di Petaling Jaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI