fbpx

Pengguna Seremban, PD dijangka terima bekalan air Rabu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk di dua daerah bakal memperolehi air terawat Rabu nanti.

 

SEREMBAN- Seluruh kawasan di Seremban dan Port Dickson yang sedang mengalami gangguan air ketika ini dijangka akan menerima semula bekalan air terawat selewat-lewatnya Rabu depan.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) menerusi kenyataan hari ini bagaimanapun berkata, bekalan secara berperingkat itu bergantung kepada kerja-kerja pembaikan ditapak yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ketua Bahagian Perhubungan Awamnya, Norzita Ismail berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Linggi hari ini mula menerima aliran air sungai yang memasuki muka sauk untuk loji menjalankan proses pengepaman air mentah.

“Kami akan membekalkan air terawat ke premis pengguna di Daerah Seremban terlebih dahulu sehingga loji dapat bekalan air mentah yang mencukupi untuk menjalankan operasi pengepaman secara keseluruhan ke Daerah Port Dickson.

“Hampir lima hari LRA Linggi tidak dapat beroperasi membekalkan air terawat kepada pengguna di Port Dickson dan Seremban berikutan tebing runtuh di Sungai Linggi. Kerja-kerja menambak tebing oleh JPS memakan masa hampir empat hari untuk diselesaikan,” katanya.

Menurut Norzita, pihaknya memahami setiap kesulitan pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air melebihi tempoh 24 jam.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Sains untuk memastikan kawasan gangguan dapat dikecilkan dengan memanjangkan bekalan air dari sumber air yang berdekatan seperti Bukit Kunyit, Seremban Barat dan Spring Hill untuk daerah Port Dickson dan mengambil bekalan air dari LRA Sungai Terip untuk daerah Seremban selain dari membeli air dari Selangor untuk kawasan Tanah Merah Site A (Port Dickson).

“Kerjasama yang berterusan daripada pihak operator air lain seperti Pengurusan Air Selangor (AiS), Ranhill Syarikat Air Johor (RanhillSAJ), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) dengan menghantar lori tangki dan kakitangan mereka amat membantu Sains dalam kerja-kerja pengagihan bekalan air di kawasan terjejas sehingga keadaan pulih,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penglibatan pihak bomba juga banyak membantu Sains dalam kerja-kerja pengagihan air disekitar kawasan terlibat gangguan serta pihak polis yang banyak membantu melicinkan pergerakan lori tangki Sains sepanjang usaha pengagihan bekalan air dilakukan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI