fbpx

Kegilaan trend makan hidangan pedas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PADA 2018, seorang lelaki dari Amerika Syarikat (AS) telah dikejarkan ke hospital selepas me­ngalami sakit kepala yang teruk serta sesak nafas selepas dia memakan cili paling pedas di dunia.

Lelaki berusia 34 tahun itu mengalami sakit kepala seperti dipanah petir sehingga nyaris maut gara-gara memakan cili jenis Carolina Reaper dalam satu pertandingan memakan cili.

Hasil imbasan mendapati, beberapa salur arteri pada otaknya telah mengecil menyebabkan dia mengalami masalah yang disebut sebagai sindrom cerebral vasoconstriction (RCVS).

Menurut Dr. Kulothungan Gunasekaran dari Hospital Henry Ford di Detroit, AS, berkata, gejala yang ditunjukkan pesakit itu sama seperti kesan tindak balas individu yang mengambil ubat preskripsi atau dadah.

Bahkan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, muncul pelbagai jenis makanan yang direka dengan tahap kepedasan melampau untuk memikat selera penggemar makanan pedas.

Tidak kurang juga muncul cabaran di media sosial untuk makan makanan pedas semata-mata untuk meraih perhatian.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan oleh Public Health Malaysia, sebanyak 79 peratus orang awam berpendapat, makanan pedas memudaratkan kesihatan.

Hanya sekitar 658 netizen atau kira-kira 21 peratus me­ngandaikan makanan pedas baik untuk kesihatan.

Tidak dinafikan makanan pedas mengandungi Capsaicin yang juga mempunyai beberapa ke­lebihan untuk kesihatan, namun pengambilannya haruslah bijak.

Pakar dietitian dari Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim berkata, makanan pedas berupaya membekalkan bakteria baik sekali gus membantu penghadaman.

“Kajian menunjukkan makan makanan pedas membantu meningkatkan proses pelawasan dalam perut selain mengurangkan risiko penyakit kanser kolon.

“Bagaimanapun, semua itu berbalik pada kekerapan jumlah makanan pedas yang diambil setiap hari dan jika berlebihan, ia boleh memberi kesan pada usus yang mengakibatkan terjadinya ulser perut,” katanya.

Menurut Farah, apabila masalah ulser pada perut itu tidak sembuh, ia akan mula me­rebak di dalam usus dan boleh mengakibatkan berlakunya masalah kanser usus pula.

Dalam satu kajian di Korea, masyarakat di negara itu ba­nyak mengalami masalah kanser perut ekoran tabiat makan makanan yang pedas secara berlebihan.

Terdapat peraturan yang perlu diamalkan untuk menikmati makanan pedas secara berkala.

Untuk cara terbaik, individu disarankan untuk mengambil makanan pedas sekali atau dua kali sahaja dalam seminggu.

“Itu tempoh paling minimum yang kita cadangkan. Seterusnya antara tiga hingga lima kali se­minggu pun boleh juga.

“Tetapi jika mengambil makanan pedas antara enam hingga tujuh hari seminggu, itu yang boleh menyebabkan risiko mendapat ulser perut,” kata Farah.

Mengenai isu lambakan makanan pedas yang direka sesete­ngah pengusaha untuk menjadikan ia tular, Farah berpendapat, ia hanya strategi pemasaran untuk menarik perhatian.

“Disebabkan adanya permintaan, maka banyak pihak berlumba-lumba mencipta resepi makanan dengan kepedasan yang tidak masuk akal.

“Sebagai pengguna, anda seharusnya tahu ketahanan badan sendiri kerana apa yang kita ­makan, itu yang akan menjadi punca pada sesuatu penyakit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI