fbpx

LRA Langat 2 tergendala akibat sistem paip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham.

SHAH ALAM – Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang sepatutnya boleh membekalkan air terawat kepada pengguna di sekitar Lembah Klang masih gagal diagihkan berikutan masalah sistem peparitan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, sistem paip itu mengalami masalah di tempat-tempat tertentu kerana perlu melalui jajaran kawasan penduduk yang padat.

“Bagi fasa pertama didapati LRA Langat 2 berjalan dengan lancar namun bagi fasa seterusnya mengalami masalah susulan sistem paip tidak siap sekaligus menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan ke tempat sepatutnya.

“Bagaimanapun, pemasangan paip air daripada LRA perlu disegerakan dan keseluruhan rawatan tiada masalah tetapi hanya berlaku kesukaran pengagihan air berikutan sistem paip,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

LRA Langat 2 mula dibina pada 2014 bagi memenuhi permintaan tinggi di Lembah Klang akibat pertumbuhan yang pesat serta mengelakkan krisis air menjelang 2020.

Projek bernilai RM8 bilion ini mampu membekalkan 1,130 MLD apabila siap sepenuhnya dapat menampung permintaan pengguna sekitar Lembah Klang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung sumber air dan kerjasama di antara negeri jika berlaku krisis, Izham yang merupakan ADUN Pandan Indah menegaskan Selangor akan mengambil sumber bekalan air mentah di beberapa negeri lain.

Katanya, sumber utama bekalan air di negeri ini diperoleh dari Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Semenyih dan Sungai Gombak.

“Namun, terdapat juga aliran sungai bersempadan antara negeri yang digunakan bagi tujuan bekalan air Selangor iaitu di Sungai Semantan (Pahang), Sungai Bernam (Perak) dan Sungai Labu (Negeri Sembilan).

“Malah, aliran sungai yang mengalir merentasi sempadan negeri pula ialah Sungai Pajam dan Sungai Buah yang juga merupakan anak Sungai Semenyih,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI